‘Puteri Sarah tiba-tiba minta duit banyak’ – Syamsul Yusof

Kuala Lumpur: Syamsul Yusof yang enggan memberi komen ketika di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, di sini, kemudian tampil menerusi video di Instagram bagi menjelaskan situasi sebenar yang berlaku di mahkamah, hari ini.

Syamsul berkata, dia perlu menjelaskan kebenaran perkara ini agar tidak menjadi fitnah terhadapnya.

Menurutnya, dia berjumpa dengan Puteri Sarah minggu lalu dan berbincang apa yang masing-masing mahukan.



“Dia minta satu jumlah yang saya boleh katakan besar. Ramai sebenarnya tak setuju yang saya bersetuju dengan apa yang Puteri Sarah minta tapi okey saya setuju,” katanya.

Syamsul berkata, Puteri Sarah juga meminta dia menarik balik permohonan nusyuz mengatakan Puteri Sarah ada hubungan dengan suami orang.

“Saya kata boleh tarik. Begitu juga dengan Puteri Sarah, kita tak nak panjangkan benda ini. Saya cakap dengannya saya tarik kes nusyuz dan dia juga tarik kes isteri kedua saya Ira,” katanya.

Menurutnya, tidak perlu mereka panjangkan perkara ini dan masing-masing boleh teruskan kehidupan dengan baik dengan berlapang dada demi anak-anak.



“Alhamdulillah dia bersetuju. Saya juga bersetuju. Kita dah capai kata sepakat. Tapi beberapa hari lalu tiba-tiba saya dapat satu perjanjian baru daripada Puteri Sarah dan peguamnya.

“Ia memang berlainan daripada persetujuan perjanjian asal. Pihak Puteri Sarah yang menukar secara tiba-tiba, meminta lebih lagi, meminta duit yang lebih banyak, meminta harta-harta yang lebih banyak yang pada saya tak masuk akal,” katanya.

Syamsul berkata, Puteri Sarah juga meminta dia tidak mendedahkan jumlah yang diminta.

“Memang saya takkan sebut. Tapi sekarang dia putar cerita bahawa saya yang tukar perjanjian, saya yang ‘u-turn’,” katanya.



Syamsul berkata, itu hakikat sebenarnya yang berlaku dan disebabkan Puteri Sarah tidak mahu mencapai kata sepakat yang baik dan menukar perjanjian asal, dia putuskan untuk lawan kes ini.

“Saya pelik juga pada asalnya tidak membabitkan dengan kes nusyuz atau Ira. Itu bukan isu sebenarnya. Isu Sarah sebenarnya kenapa tiba-tiba minta duit banyak lagi. Saya tak faham. Padahal yang diberikan itu pun dah lebih daripada perlu. Tapi dia minta lebih lagi. Kalau itu pilihan Sarah saya tak boleh dapat kata sepakat dan kita terpaksa lawan. Jadi kita serahkan kepada mahkamah,” katanya.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button