Aksi tampar Kak Ogy kelihatan ‘Real’
Kuala Lumpur : “Saya masih waras dan takkan tampar betul,” kata pelakon veteran, Fauziah Ahmad Daud atau Ogy mengenai babak dirinya menampar Tya Arifin dalam video yang dimuat naik Tya di Instagram sehingga mencecah 17.3 juta tontonan.
Ogy berkata, babak itu menjadi lebih berkesan apabila digabungkan dengan kesan bunyi untuk drama pendek berjudul Saksi Malam Syawal itu.
“Aksi tampar dan pukul itu hanya lakonan dan ia menggunakan teknik lakonan. Bunyi tampar pula adalah kerana kesan bunyi,” katanya.
Sementara itu, Tya pula berkongsi keterujaannya untuk pengalaman berlakon dan bekerjasama dengan Ogy itu.
“Drama pendek ini adalah karya terbaharu daripada Mutyara bersempena sambutan Aidilfitri tahun ini.
“Lebih membanggakan adalah, apabila Kak Ogy sudah menerima tawaran untuk berlakon. Ia satu penghargaan dan pengalaman bermakna buat kami,” katanya.
Tya juga mengucapkan terima kasih kepada Ogy atas bantuan sepanjang penggambaran berlangsung.
“Saya nak berterima kasih kepada Kak Ogy kerana banyak membantu saya dan pasukan sepanjang penggambaran.
“Kak Ogy bukan sahaja pelakon, tetapi juga guru untuk saya saat berada di lokasi,” katanya.
Drama pendek Saksi Malam Syawal memaparkan realiti kehidupan sambutan perayaan antara menantu dan juga mentuanya yang kejam.
METRO