Anwar dakwa Muhyiddin keluarkan kenyataan cenderung mengapi-apikan
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan Tan Sri Muhyiddin Yassin, menggalakkan perasaan niat jahat, tidak puas hati atau permusuhan antara orang awam dan calon pilihan raya menerusi kenyataannya bahawa Perdana Menteri menerima RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor sebelum ini.
Menerusi jawapan pembelaan membabitkan saman difailkan terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu, Perdana Menteri berkata, Muhyiddin sebagai bekas Perdana Menteri dan ahli politik veteran sepatutnya tahu adalah tidak disegani untuk membuat kenyataan cenderung mengapi-apikan sebelum, semasa dan selepas pilihan raya.
Beliau berkata, ia terutama apabila kenyataan sedemikian berunsur fitnah dan berniat jahat.
“Namun, defendan (Muhyiddin) meneruskan untuk membuat perkara sama iaitu memfitnah melalui ucapannya dalam kempen pilihan raya yang jelas melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
“Defendan memutarbelitkan kebenaran dan menyebarkan kepalsuan yang keji berkenaan
dengan gaji plaintif (Anwar) sebagai Penasihat Ekonomi Kerajaan Selangor (sebelum ini).
“Lebih-lebih lagi apabila perkara sama disangkal secara terbuka oleh plaintif sejak beberapa tahun lalu.
“la juga ditegaskan bahawa hansard ialah dokumen yang boleh diakses secara umum dan adalah bijak untuk merujuk perkara yang sama sebelum membuat dakwaan serius itu,” katanya dalam jawapan pembelaan yang difailkan firma guaman, Tetuan S N Nair & Partners, 16 Februari lalu.
Anwar yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) memfailkan saman terhadap Muhyiddin pada 20 Disember lalu, berhubung kenyataan fitnah mendakwa Perdana Menteri menerima RM15 juta sebagai Penasihat Ekonomi Selangor dalam satu ceramah ketika kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).
Kenyataan itu didakwa dikeluarkan Muhyiddin di ceramah ‘Grand Finale PN Padang Serai’ di Taman Selasih, Kulim sewaktu kempen PRU15 pada 5 Disember lalu.
Anwar berkata, Muhyiddin hingga kini tidak menamakan pegawai pihak ketiga daripada Kerajaan Selangor didakwa mendedahkan maklumat RM15 juta diterima Perdana Menteri sebagai gaji Penasihat Ekonomi Selangor sebelum ini.
Beliau berkata, Pengerusi PN itu wajar mendedahkan identiti pegawai itu pada ketika ini, selain menegaskan pegawai didakwa defendan adalah rekaan semata-mata.
“Setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli (ketika itu), sudah menafikan perkataan fitnah diungkapkan defendan.
“Malah, fakta material ini tidak dicabar dalam apa cara sekalipun dengan butiran oleh defendan dalam pernyataan pembelaan yang hanya menunjukkan pernyataan itu adalah palsu,” katanya.
Perdana Menteri berkata, tiada kewajipan undang-undang kepada Muhyiddin untuk mengungkapkan perkataan fitnah kepada pengundi Parlimen Padang Serai yang secara kebetulan bukan kawasan pilihan raya defendan bertanding.
“Defendan tiada kewajipan undang-undang untuk membuat apa-apa kenyataan palsu dengan niat jahat seperti terkandung dalam perkataan fitnah kepada pengundi atau masyarakat umum.
“Defendan mungkin menikmati kebebasan untuk bersuara di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan, namun ia tidak mutlak dan tertakluk kepada pelbagai sekatan dan halangan termasuk Akta Fitnah 1957.
“Oleh itu, plaintif menganggap defendan bertanggungjawab untuk fitnah itu dan menganggap perkara yang sama sebagai berniat jahat,” katanya.
BHOnline