Borong raya saat akhir di Bazar Aidilfitri Lorong TAR

Kuala Lumpur: Orang ramai mengambil kesempatan ‘memborong’ pakaian dan kuih raya pada hari terakhir Bazar Aidilfitri, di Lorong Tuanku Abdul Rahman yang kini membuat lelongan dan menawarkan harga runtuh.

Pekerja swasta, Norsaifullizan Ismail, 52, berkata, kadar penurunan harga sangat ketara berbanding jualan permulaan sebelum ini, dia datang ke Bazar Aidilfitri berkenaan pada hari terakhir puasa.

“Tiap-tiap tahun, saya akan datang dan membeli pada hari terakhir. Ini disebabkan, kedai atau gerai di sini banyak menawarkan diskaun.

“Mereka juga nak habiskan stok disebabkan hari terakhir dan akan ‘berlawan’ menurunkan harga. Jadi pengguna macam saya akan ambil kesempatan waktu itu,” katanya ketika ditemui Harian Metro hari ini.

Dia yang berasal dari Nilai turut membuat perbandingan harga baju kurung yang dibeli untuk isteri dan anaknya.

“Dari harga asal RM180 sebelum ini tetapi bila beli hari terakhir kita boleh dapat RM100,” katanya.

Pesara tentera, Mohamad Hanif Hamiruddin, 38, berkata, dia dan isterinya mengunjungi Bazar Aidilfitri saat akhir kerana ingin mendapatkan harga jualan lelong.

“Selalunya kami akan datang saat akhir macam ini. Satu sebabnya ntuk mendapatkan suasana hari terakhir yang meriah.

“Kedua, banyak kedai atau gerai tawarkan harga jualan murah dan lelong,” katanya yang berasal dari Selayang.

Katanya, antara barangan yang mahu dibelinya adalah seperti samping, songkok dan tudung.

Peniaga pakaian, Feylana Benhar, 18, berkata, gerainya menawarkan harga jualan lelong serendah RM20 berbanding RM59 sebelum ini.

“Disebabkan sudah tidak ada stok lagi, jadi kami mengambil keputusan untuk habiskan. Kalau boleh malam ini juga.

“Kami juga berkemungkinan akan berniaga sehingga jam 5 pagi,” katanya.

Peniaga kuih raya, Abdullah Jefri Nurizwan, 34, berkata, pihaknya mula menawarkan harga jualan lelong sejak semalam.

“Harga kuih raya sebelum ini bermula daripada empat, RM100 tetapi kini kami lelong enam, RM100. Orang ramai boleh memilih apa-apa jenis kuih raya, tiada masalah.

“Kalau boleh, kami nak habiskan hari ini dan tak mahu ada tinggal baki kuih raya. Kita mahu kosongkan semua,” katanya.

Dia berkata, kemungkinan pihaknya akan berniaga sehingga jam 4 pagi nanti.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker