Misi balas dendam pelancong China
Seoul: Gara-gara tempahan penginapan menerusi Airbnb tidak dibatalkan, suami isteri ‘membalas dendam’ untuk menyebabkan kerugian kepada pemilik rumah itu.
Pelancong dari China itu menempah untuk tinggal di sebuah rumah di Seoul selama 25 hari, namun empat hari sebelum tiba, mereka bertanya sama ada boleh membatalkan tempahan.
Pasangan itu membuat keputusan untuk membatalkan tempahan di saat akhir kerana didakwa menyedari vila itu tidak terletak di bandar, sebaliknya di pinggir bandar Seoul.
SBS News Korea melaporkan, pasangan itu kemudian mendakwa dijangkiti Covid-19 sebagai helah membatalkan tempahan mereka.
Pengendali Airbnb itu, seorang lelaki berusia 20 tahun, meminta bukti mereka dijangkiti Covid-19, namun pasangan itu gagal membuktikannya.
Malah, pemilik rumah itu memberitahu pasangan itu perlu mengemukakan notis pembatalan lebih awal.
Selain itu, individu berkenaan berkata, tempahan itu sudah dibayar sepenuhnya.
Pasangan itu kemudian dilaporkan bertanya sama ada hartanah itu mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).
Namun, apa yang tidak diketahui oleh pemilik rumah itu, suami isteri itu sebenarnya sudah merancang untuk ‘membalas dendam’ kerana tempahan itu tidak dibatalkan.
Pasangan itu membiarkan paip dibuka selama enam hari dan menyalakan lampu dan gas di kediaman berkenaan.
Ia menyebabkan pemilik rumah terpaksa membayar bil bernilai AS$1,570 (kira-kira RM6,900) serta perbelanjaan lain bernilai AS$728 (RM3,230).
Ibu Pejabat Kerja Air Seoul berkata, jumlah kerugian itu bersamaan penggunaan untuk utiliti bagi lapan orang dewasa selama dua bulan.
Agensi