Mekanik maut kereta rempuh tiang elektrik
Kota Tinggi: Seorang mekanik maut selepas kereta dipandunya terbabas sebelum merempuh tiang elektrik di Kilometer 45 Jalan Johor Bahru – Mersing di sini, pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa dikenali sebagai Rohaizad Aimer Abu Kassim, 28, maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Kota Tinggi Superintendan Hussin Zamora berkata, kemalangan itu membabitkan kereta Honda Civic dipandu mangsa yang dalam perjalanan ke tempat kerjanya di Taman Kota Jaya di sini.
“Kemalangan dipercayai berlaku apabila mangsa yang dari arah Mersing menghala ke Johor Bahru gagal mengawal keretanya sebelum terbabas ke laluan bertentangan.
“Kejadian itu menyebabkan kereta mangsa merempuh tiang elektrik di bahu jalan dan mangsa lelaki itu kemudian disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, seramai enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Tinggi diketuai Komander Operasi, Pegawai Bomba Kanan II Ibrahim Wahid bergegas ke lokasi kejadian sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu.
Menurut Ibrahim, kemalangan mengakibatkan pemandu kereta cedera di bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pasukan perubatan.
“Pasukan Keluaran Operasi (PKO) bertindak mengeluarkan mangsa menggunakan pengusung sebelum menyerahkan mangsa kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya yang kemudian menamatkan operasi pada jam 8.26 pagi.
METRO