Salam raya dari angkasa lepas

Abu Dhabi: Angkasawan Emiriah Arab Bersatu (UAE), Sultan al-Neyadi tidak ketinggalan membuat ucapan raya dari angkasa lepas, dengan ditemani patung maskot dinamakan Suhail.

Al Arabiya News melaporkan, ucapan itu ditujukan buat pengikut, keluarga dan warga UAE, menerusi video dimuat naik di Twitter dengan diiringi muzik Arab.

“Biasanya hari raya bersama keluarga dan anak saya, tetapi hari ini saya bersama rakan saya Suhail (patung maskot) di Stesen Angkasa Antarabangsa (ISS).”



“Dalam kesempatan ini, saya mengucapkan salam kepada pemimpin negara, keluarga, rakan dan anda semua.

“Semoga hari raya ini membawa keamanan, kebahagiaan dan kebaikan kepada seluruh dunia. Selamat tahun baharu, dan semoga anda diberkati,” katanya.

Lelaki itu sebelum ini berkongsi ciapan memaklumkan menyambut hari raya ini dengan Suhail.

Awal minggu ini, al-Neyadi berkongsi rakaman pemandangan Makkah dan Madinah, Arab Saudi, dilihat dari ISS.



Rakaman itu menunjukkan Masjidilharam bercahaya dalam gelap.

Angkasawan UAE itu kerap berkongsi rakaman di atas ISS sejak memulakan misinya selama enam bulan, pada Mac.

Sultan al-Neyadi akan menjadi orang Arab pertama yang melengkapkan perjalanan angkasa (spacewalk) apabila keluar dari ISS pada 28 April.

Dia mengikuti jejak angkasawan Arab lain termasuk warga UAE, Hazzaa al-Mansouri yang menjadi orang Arab pertama di ISS pada 2019, dan Putera Arab Saudi, Sultan bin Salman yang menjadi orang Arab pertama mengembara ke angkasa lepas pada 1985.



Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button