Aiman Tino, Syarah nikah petang esok

KUALA LUMPUR: Bapa kepada penyanyi Aiman Tino, Yusri Ishak mengesahkan majlis akad nikah anaknya dengan bakal isterinya, Syarah Haifa, petang esok.

Yusri berkata, majlis perkahwinan itu akan diuruskan sepenuhnya oleh penaja yang juga pengendali acara.

“Majlis akad nikah akan berlangsung selepas solat Asar kira-kira jam 5.30 petang di Segambut. Semuanya diuruskan oleh pihak penaja.



“Aiman pesan, ahli keluarga datang sahaja dan menikmati majlis hari bahagianya,” katanya kepada Harian Metro.

Mengulas persediaan anaknya, Yusri yakin, ia adalah keputusan terbaik dibuat oleh penyanyi yang popular menerusi lagu Ku Rela Dibenci itu untuk kehidupannya.

“Kalau rasa teruja itu, mungkin ada, tetapi sudah biasa sebab ini adalah menantu ketiga dalam keluarga. Sebagai ibu bapa, apa yang penting Aiman sukakan jodohnya.

“Pokok pangkal adalah Aiman sendiri. Kalau umur 23 tahun dan sudah bersedia berumah tangga, teruskan. Kalau umur 27 tahun pun, tetapi belum bersedia, tak jadi juga.



“Saya yakin, Aiman sendiri tahu mengenai komitmennya dan mungkin sudah tiba masa untuk ada orang jaga makan minum dan pakaiannya. Dia pun inginkan teman hidup,” katanya.

Selain majlis akad nikah, Yusri turut memaklumkan majlis resepsi akan berlangsung di Shah Alam pada 6 Mei depan.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan Aiman mendedahkan akan mendirikan rumah tangga dengan wanita pilihannya, Syarah Haifa pada tahun ini selepas menghantar rombongan merisik pada Januari lalu.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button