‘Lanun’ rompak pelantar ‘VC’ isteri selamatkan suami

Kota Tinggi: Pelik melihat telefon suami dirampas ketika mereka sedang membuat panggilan video membuatkan seorang wanita melaporkan kejadian itu kepada Ageni Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Tindakan wanita itu ternyata menjadi penyelamat suaminya dan rakan yang diserang sekumpulan ‘lanun’ di pelantar minyak Aurora Produser 1 di kedudukan 0.7 batu nautika timur laut Jeti Pelabuhan Tanjung Langsat dekat Pasir Gudang, semalam.

Pemangku Ketua Pengarah APMM Laksamana Madya Maritim Datuk Saiful Lizan Ibrahim berkata, isteri mangsa yang berusia 24 tahun dikatakan sedang membuat panggilan video dan berbual dengan suaminya ketika kejadian.



Menurutnya, isteri mangsa yang membuat panggilan dari Johor Bahru itu berasa apabila melihat telefon yang dipegang suaminya dirampas secara tiba-tiba.

“Panggilan video mereka itu dipercayai dibuat pada 10 malam Isnin, ketika telefon suami disambar suspek, isteri mangsa terdengar suara dan paparan skrin telefon gelap.

“Isteri mangsa kemudiannya melaporkan keadaan itu kepada kami pada 10.30 malam tadi dan memohon melihat keadaan serta keselamatan suaminya.

“Kebetulan isteri tahu lokasi pelantar terbabit, menerusi laporan MERS999 kita dapat sahkan info itu dan kemudiannya menghubungi Lembaga Pelabuhan Johor (LPJ) untuk mengesan kedudukan pelantar itu.



“Kami mengarahkan bot peronda yang sedang dalam Ops Pagar Laut untuk membuat tinjauan di pelantar itu sebelum mengesan suspek terbabit,” katanya ketika sidang media di Ibu Pejabat APMM Tanjung Sedili di sini, hari ini.

Turut hadir Timbalan Pengarah Operasi APMM Johor Kepten Maritim Simon Templer Lo Ak Tusa.

Menurut Saiful Lizan yang juga Timbalan Ketua Pengarah (Logistik) Maritim Malaysia memaklumkan, mangsa masih lagi trauma dengan kejadian itu, namun sudah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Pasir Gudang.

“Kedua mangsa dilaporkan ada mengalami kecederaan dan kini sedang diuruskan oleh ejen perkapalan mereka untuk rawatan lanjut,” katanya.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button