Falcao tak sabar bertemu TMJ

KUALA LUMPUR: Ciapan pemilik Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim di laman Twitter mengenai Radamel Falcao turut mendapat jawapan balas daripada bintang Colombia itu.

Menerusi reaksi balas di laman Twitter miliknya, Falcao menjelaskan bahawa dia tidak sabar untuk berjumpa dengan Tunku Ismail.

“Tidak sabar untuk berjumpa anda,” tulis bekas penyerang Atletico Madrid dan Manchester United itu yang dilihat menguatkan lagi khabar angin bahawa dia bakal menyertai keluarga Harimau Selatan.



Semalam, Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) seakan memberi bayangan Falcao semakin hampir ke JDT selepas menyatakan akan berjumpa dengan pemain berusia 37 tahun itu.

“Jumpa anda dalam masa terdekat,” tulis Tunku Ismail yang turut ‘tag’ nama Falcao dan ejen bola sepak, Morris Pagniello.

Sebelum ini, media Sepanyol, Marca melaporkan Falcao, 37, bersedia untuk menyertai JDT yang juga juara Liga Super sembilan kali berturut-turut.

BH Sukan pula melaporkan JDT kemungkinan perlu menyediakan RM5 juta setahun untuk membayar gaji Radamel Falcao seandainya penyerang itu menyertai skuad Harimau Selatan.



Malah, khabar angin itu turut mendapat reaksi ketua jurulatih Harimau Selatan, Esteban Solari yang tidak menolak kemungkinan Falcao bakal memperkuatkan pasukan itu pada jendela perpindahan kedua musim ini.Katanya, pihaknya hanya menunggu ‘lampu hijau’ daripada TMJ bagi merealisasikan perpindahan berkenaan.

“Kita tahu kemungkinan itu ada dan bos (Tunku Ismail) sedang melihat perkara itu menerusi kerjasama dengan pihak tertentu. Seperti sedia maklum JDT adalah kelab besar seterusnya mengetahui peluang yang ada di luar,” katanya.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button