Galeri Ilham penuhi impian Mamat Khalid

KUALA LUMPUR: Ibarat kecil tapak tangan, nyiru ditadahkan demikian perasaan ahli keluarga sutradara Allahyarham Mamat Khalid mengenai penubuhan Galeri Ilham yang bakal dibangunkan di Kampung Kuchai, Ipoh, Perak, tidak lama lagi.

Balu arwah Mamat, Hasmah Hassan, berkata barangan yang akan ditempatkan di galeri berkenaan sudah tersedia.

Katanya, arwah memang sangat teruja dengan projek Galeri Ilham itu sehingga sanggup mengeluarkan belanja sendiri bagi membeli segala kelengkapan untuk galeri berkenaan.



Cuma, katanya, dia hanya menantikan lampu hijau daripada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebelum projek Galeri Ilham dapat dilaksanakan.

“Allahyarham sangat teruja mengenai projek Galeri Ilham ini bagi menghidupkan Bandaraya Ipoh dengan aktiviti kesenian.

“Sebenarnya, penasihat MBI ada bertemu dengan arwah untuk membincangkan mengenai projek ini dua bulan sebelum pemergiannya.

“Mengikut perancangan awal, MBI ingin mewujudkan Sarang Art Hub seperti di Tanjung Malim, tetapi selepas pemergian arwah projek itu diubah kepada galeri,” katanya kepada BH Online.



Tambah Hasmah, disebabkan terlalu teruja dengan projek itu, arwah membeli segala barangan keperluan untuk ditempatkan di galeri walaupun perkara itu masih pada peringkat perbincangan.

“Arwah seronok kerana projek galeri bakal dibangunkan di tanah kelahirannya dan memilih sendiri lokasi di Kampung Kuchai, Ipoh.

“Jadi, belum apa-apa lagi, arwah sudah memborong barangan untuk diletakkan di galeri berkenaan.

“Secara kebetulan, ada restoran yang terletak di Amcorp Mall, Petaling Jaya ditutup. Restoran ini penuh dengan barangan klasik.



“Jadi, suami borong barangan antik di restoran ini,” katanya.

Kata Hasmah, barangan antik itu ditempatkan di sebuah pusat penyimpanan yang disewa untuk menyimpan barangan.

Justeru, Hasmah berkata, dia memang mengharapkan projek galeri dapat direalisasikan bagi memenuhi impian arwah, selain mengelakkan pembaziran pada masa hadapan.

“Kami tiada apa-apa masalah, malah sangat berbesar hati dengan cadangan menubuhkan galeri ini.



“Cuma, ada beberapa isu termasuk tapak galeri yang masih belum selesai.

“Saya difahamkan MBI sudah menghantar permohonan ke Jabatan Tanah dan Galian Persekutuan sejak setahun lalu, namun sehingga kini masih belum ada sebarang jawapan,” katanya.

Ujar Hasmah lagi, dia sanggup turun ke jabatan berkaitan di Putrajaya sekiranya perlu supaya projek penubuhan galeri dapat disegerakan.

“Kami sudah bertemu dengan MBI sebanyak dua kali untuk berbincang mengenai penubuhan galeri ini.



“Sekarang, kami hanya menanti MBI yang sudah membawa projek ini untuk kelulusan kerajaan pusat.

“Jika isu tapak galeri selesai, insya-Allah projek galeri ini dapat digerakkan.

“Saya dan keluarga sudah tidak sabar kerana selain perabot, banyak koleksi arwah seperti busana, kasut dan topi tersimpan.

“Daripada tidak digunakan, lebih baik dijadikan sebagai bahan pameran. Sekurang-kurangnya ada juga faedah daripada rosak begitu sahaja,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button