“Misi ini dilakukan dengan sepenuh hati kerana Allah” – Herrynizam

Kuala Lumpur: “Misi ini adalah usaha yang sangat bermakna untuk diri saya, malah dilakukan dengan sepenuh hati kerana Allah SWT yang berbekalkan kudrat dan tenaga sendiri,” kata Herrynizam Saleh.

Herrynizam, 42, yang juga lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) kudung tangan kiri nekad melakukan misi berjalan secara solo untuk menunaikan haji di Makkah, tahun ini.

Misi itu didorong dengan tekadnya ingin melihat Kaabah di depan mata buat kali pertama dengan memilih berjalan sendirian kerana tidak mahu membebankan keluarga dan orang sekelilingnya.



Dia yang masih bujang dan menetap bersama keluarga di Pangsapuri Program Perumahan Rakyat (PPR) Jalan Laksamana di Teluk Intan, Perak memulakan perjalanan di Plaza Tol Bidor pada 24 April lalu.

Berkongsi misinya, Herrynizam berkata, dia sudah lama menyimpan impian menunaikan rukun Islam kelima itu sebelum keinginan untuk ke Tanah Suci memuncak sebulan sebelum Ramadan.

Bagaimanapun katanya, dia hanya memaklumkan hasrat itu kepada ibu, Eroayer Mat Gasar, 66, sehari sebelum dia memulakan perjalanan dan bersyukur wanita tersayang itu menyokong misi dilakukannya.

“Saya memulakan perjalanan dengan berserah dan bertawakal kepada Allah selain membawa wang RM300 sebagai bekalan perjalanan ke Tanah Suci, saya percaya wang itu cukup untuk alas perut.



“Keinginan untuk menunaikan haji sangat menebal sejak sebulan lalu tetapi untuk menempah tiket penerbangan, saya tidak mampu ketika ini.

“Kebetulan saya tiada motosikal atau kereta milik sendiri, yang ada hanya basikal tetapi bila fikirkan hanya ada satu tangan saja agak sukar untuk saya kayuh dalam jarak jauh jadi saya pilih berjalan saja,” katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Herrynizam turut mengakui dia tidak meminta ahli keluarganya atau ibu bapanya menampung kos perjalanan ke Makkah tetapi mereka hanya diminta menghantarnya ke plaza tol saja untuk memulakan perjalanan sebagai tetamu Allah.

“Persiapan sebenarnya sudah dibuat sejak setahun lalu apabila saya selalu bersenam, berjoging dan mengayuh basikal hampir setiap hari.



“Saya hanya membawa tiga helai t-shirt dan seluar, songkok, sejadah, surah Yassin dan tasbih selain dokumen pengenalan diri. Keperluan haji dibeli di sana nanti dan adik mahu kirim wang,” katanya sambil memberitahu tangan kiri kudung selepas terbabit kemalangan di Johor empat tahun lalu.

Menurut Herrynizam, setakat petang semalam, dia sudah berjalan sehingga ke Bangkok, Thailand dan akan menempuh perjalanan ke Myanmar.

Katanya, perjalanan memang mencabar terutama cuaca panas ketika ini, namun semua itu termasuk rasa penat berjalan kaki dan status sebagai OKU sama sekali tidak melunturkan semangatnya.

“Setiap hari saya akan berjalan sejauh 50 kilometer bermula selepas subuh dan berakhir pada waktu Isyak selain mengecas telefon bimbit di balai polis dan surau.



“Tempat tidur pula saya akan cuba mencari lokasi yang selamat dan pernah tidur di bangsal hasil bantuan penduduk setempat,” katanya berdepan pengalaman telefon bimbitnya hampir dicuri.

Katanya, dia yakin dapat merealisasikan hasrat itu dan menganggarkan akan mengambil masa 90 hari untuk tiba di Makkah dengan sokongan serta doa ibu dan bapa, Saleh Bi, 68, serta orang ramai.

“Ini bukan kerja gila, ini usaha berjalan menuju ke rumah Allah walaupun bukan mudah tetapi saya percaya dan yakin ia boleh dilakukan.

“Saya mengaku pernah melalui fasa yang tidak sempurna dalam melakukan ibadah agama tetapi perlahan-lahan saya mahu berubah dan mungkin seruan haji saya sudah tiba.



“Saya juga terharu dengan sokongan orang ramai selepas perkongsian di TikTok mendapat perhatian, malah ada juga insan yang bermurah hati memberi sumbangan ikhlas kepada saya.

“Semua komen positif menaikkan semangat saya dan ada yang beri komen negatif tetapi itu tidak langsung melunturkan semangat saya,” katanya turut membawa Jalur Gemilang.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button