Lelaki pesakit mental maut jatuh kondominium

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki pesakit mental ditemui mati selepas terjatuh dari tingkat 16 sebuah blok kondominium di Setapak di sini, petang tadi.

Kejadian dilaporkan kepada pihak Balai Polis Setapak oleh orang awam pada jam 2.45 petang.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah, berkata siasatan di lokasi menemukan seorang lelaki dalam keadaan terlungkup di atas besi ‘awning’ (atap tambahan) sebuah rumah di tingkat 3.



“Mangsa ditemui dalam keadaan tidak memakai baju dan hanya berseluar pendek. Kematiannya disahkan anggota perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) di lokasi.

“Ketika kejadian, tiada saksi bebas yang melihat dan saksi hanya ada mendengar bunyi dentuman yang kuat dan apabila melihat ke bawah mendapati mangsa sudah terbaring di tingkat 3,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, mangsa adalah pesakit mental dan tinggal bersama dengan adik perempuan serta seorang lelaki tempatan.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut, bagaimanapun orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan kejadian ini diminta tampil membantu siasatan.



“Maklumat boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Wangsa Maju di talian 03-92899222 atau Hotline Polis Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button