Pemain muda digesa manfaat peluang beraksi di Kemboja

KUALA LUMPUR: Skuad muda badminton negara digesa memanfaatkan peluang beraksi di Sukan SEA Kemboja 2023 dengan memperagakan aksi terbaik sekali gus menjulang nama negara.

Gesaan itu dibuat Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Tan Sri Mohamad Norza Zakaria yang percaya usaha mengetengahkan pemain muda di temasya dwitahunan itu mampu memantapkan lagi pembangunan atlet muda di peringkat akar umbi bagi memastikan Malaysia terus melakar kejayaan di peringkat antarabangsa.

“Kita sudah mula mengetengahkan pemain muda ke Sukan SEA bermula dari edisi dua atau tiga tahun lalu, dan umur pemain yang dihantar juga semakin menurun maksudnya proses membina pelapis itu berlaku.



“Itu perkara yang mereka sedia tahu dan mereka juga mahu pergi menyertai Sukan SEA,” kata Norza ketika ditemui media selepas majlis rumah terbuka Aidilfitri Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM), hari ini.

Pada temasya tahun lalu di Vietnam, Malaysia membawa pulang satu pingat emas, dua perak dan satu gangsa untuk menamatkan kedudukan di tangga ketiga keseluruhan di belakang Indonesia dan juara Thailand.

Indonesia berada di tangga kedua dengan dua emas, dua perak dan lima gangsa manakala Thailand merangkul empat emas dan dua perak.

Bagi saingan kali ini, pasukan badminton dibarisi 20 pemain, masing-masing 10 lelaki dan wanita yang diketuai pemain senior Leong Jun Hao.



Selain Jun Hao, turut berada dalam senarai pemain lelaki adalah Kok Jing Hong, Ong Ken Yon, Lee Shun Yang, Rayner Beh Chun Meng, Goh Boon Zhe, Chia Weijie, Liew Xun, Yap Roy King dan Choong Hon Jian.

Barisan pemain wanita pula diketuai Siti Nurshuhaini Azman, Tan Zhing Yi, Wong Ling Ching, Ong Xin Yee, Low Yeen Yuan, Valeree Siow, Lee Xin Jie, Cheng Su Hui, Cheng Su Yin dan Yap Ling.

BHOnline



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button