Anwar sahkan ada rundingan ekstradisi Jho Low

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan sedang berunding dengan beberapa negara bagi mengekstradisi ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho yang lebih dikenali sebagai Jho Low.

Perdana Menteri berkata, perundingan secara diplomatik berhubung perkara itu memang dijalankan dengan beberapa negara.

“Namun, kita tidak pernah mendedahkan ia dengan negara mana. Kita tahu kedudukan di mana dia (Jho Low) berada, dan kita berunding bagi mempercepatkan proses,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan ibu pejabat Persatuan Bulan Sabit Merah sempena sambutan ulang tahun ke-75 persatuan itu, hari ini.

Anwar mengulas laporan yang menyatakan Malaysia sedang berunding dengan China bagi mengekstradisi Jho Low.



Pengarang bersama buku ‘Billion Dollar Whale’ mengisahkan 1Malaysia Development Bhd (1MDB), Bradley Hope, yang memetik sumber berkata bahawa rancangan itu sedang dibincangkan kerajaan berikutan lawatan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke China, bulan lalu.

Anwar bagaimanapun enggan menghuraikan butiran rundingan itu.

“Kami tidak pernah mengesahkan negara (tempat Jho Low dipercayai bersembunyi).

“Rundingan mengenai perkara itu sedang dibuat dengan negara terbabit melalui saluran diplomatik yang betul,” katanya.



Ditanya sama ada rundingan itu membabitkan China, Anwar berkata;

“Saya tidak boleh mengulas mengenainya. Kerajaan perpaduan mahu mendakwa Jho Low atas dakwaan jenayahnya secepat mungkin.

“Sudah tentu (mahu percepatkan proses) Itu selalu menjadi pendirian kami malah tegas mengenainya sejak hari pertama (pentadbiran sekarang),” katanya.

Anwar mengakui proses membawa Jho Low adalah satu proses yang rumit.

“Ini kerana rundingan sebegini membabitkan banyak negara, perkhidmatan perisikan, Interpol (Polis Antarabangsa) dan lain-lain,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker