Berkumpul, sambut raya bersama sebelum arwah pergi – Didie

KUALA LUMPUR: Pelakon Didie Alias, 51, mengesahkan bekas suaminya yang juga pelakon terkenal, Ridzuan Hashim meninggal dunia akibat penyakit jantung di kediamannya ketika sedang bersarapan.

Kata Didie, arwah berdepan dengan penyakit jantung sejak tiga tahun lalu, namun tidak berkongsi dengan orang ramai.

“Saya tahu arwah ada penyakit jantung sebab pernah terkena serangan ketika bermain bola sepak, kemudiannya sesak nafas dan terus dihantar ke Hospital Kuala Lumpur (HKL), tiga tahun lalu.

“Tiga saluran jantung dimaklumkan tersekat dan kemudiannya, arwah dihantar ke Institut Jantung Negara (IJN).

“Dan satu saluran diubati dan hanya tinggal dua yang tersumbat. Jadi, bila begitu kami risau mahu biarkan arwah tinggal berseorangan sebab semua anak-anak tinggal dengan saya.

“Saya berbincang dengan anak-anak dan sejak tahun lalu, anak kami, Muhammad Dhanial tinggal bersamanya,” katanya kepada BH Online ketika ditemui di Jabatan Forensik, HKL petang tadi.

Didie berkata, mereka sekeluarga sangat bersyukur diberi kesempatan untuk menjaga dan menyambut Aidilfitri bersama.

“Selepas lebih 20 tahun, kami bertemu semula dan banyak meluangkan masa sejak tahun lalu. Saya syukur Allah kurniakan peluang untuk kami berkumpul satu keluarga sebelum arwah pergi.

“Malah, arwah juga ada beraya dengan kami. Arwah ikut kami beraya di rumah ibu bapa mentua saya di Melaka.

“Memang ia satu kesyukuran buat kami dapat meluangkan masa bersama sejak kami berbaik semula dalam tempoh dua tiga tahun ini.

“Terima kasih Allah kerana kumpulkan kami. Arwah pun tak kahwin lain, jadi kami jadi seperti satu keluarga yang gembira dan tak kisah dengan kisah lalu,” katanya.

Bagaimanapun, Didie berkata, anaknya, Muhammad Dhanial mungkin agak ralat kerana arwah tidak dapat menghadiri majlis pernikahannya pada 20 Mei ini.

“Mungkin anak saya ralat sebab satu saja, dia nak nikah pada 20 Mei ini di Tawau, Sabah. Baju semua sudah siap dibeli untuk arwah pakai. Sudahlah itulah satu-satunya anak lelaki arwah, jadi tak tahu bagaimana dia nak hadap.

“Muhammad Dhanial rapat dengan arwah. Dia juga yang terakhir bersama arwah dan sempat makan sarapan bersama, pagi tadi,” katanya.

Tambah Didie, arwah seorang bapa yang penyayang dan rapat dengan anak-anaknya.

“Sebenarnya, arwah seorang yang penyayang dengan anak-anak. Kalau nak tahu kami panggil arwah ‘baby’ sebab sensitif orangnya,” katanya.

Didie dan Ridzuan mendirikan rumah tangga pada 1991 dan bercerai 2002. Mereka dikurniakan lima cahaya mata.

Terdahulu, Ridzuan, 62, disahkan meninggal dunia di HKL, pagi tadi.

Berita pemergian pelakon yang dikenali sebagai watak King dalam filem KL Gangster itu disahkan bekas isteri yang juga pelakon, Didie Alias menerusi laman sosial, Instagram (IG) kira-kira jam 2.50 petang ini.

Allahyarham Ridzuan akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Dusun Tua, Hulu Langat, Selangor.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker