Siasatan terbuka SPRM tingkat kepercayaan rakyat

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu dibenar melaksanakan siasatan terbuka bagi menangani isu persepsi dan ketidakpercayaan masyarakat yang tidak berkesudahan terhadap agensi itu.

Cadangan itu juga dilihat lebih berkesan, berbanding kerajaan meneliti keperluan memasukkan SPRM di bawah Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) sebagai agensi penguatkuasaan di bawah seliaannya.

Pengerusi Panel Penilaian Operasi (PPO) SPRM, Datuk Ahmad Rosli Mohd Sham, berkata walaupun matlamat cadangan meletakkan agensi itu di bawah EAIC untuk menyelesaikan masalah persepsi yang melanda SPRM, namun langkah terbabit bukan suatu penyelesaian.

Katanya, antara tindakan diambil negara maju seperti Australia dan Kanada dalam menyuraikan isu persepsi terhadap badan antirasuah dan penguatkuasan mereka, adalah dengan membahagikan dua cara siasatan iaitu secara tertutup dan terbuka (public inquiry).

Beliau berkata, langkah itu juga boleh dilaksanakan SPRM, khususnya membabitkan kes berkepentingan awam iaitu yang tidak mempunyai suspek khusus tetapi dikesan bermasalah atau mempunyai isu rasuah.

“Kita lihat banyak kes disiasat SPRM mengundang persepsi serta spekulasi awam atau berkepentingan dan ia tidak berkesudahan sehingga menyebabkan cadangan demi cadangan kononnya perlu untuk mengawal SPRM. Antaranya keperluan untuk membawa masuk SPRM ke dalam EAIC.

“Oleh yang demikian, antara cadangan memperbetulkan persepsi ini adalah dengan mengadakan siasatan terbuka. Kita beri semua orang melihat apa yang berlaku dan pastinya tiada sesiapa boleh menimbulkan isu atau membuat tuduhan kepada SPRM, kerana ia diadakan secara terbuka.

“Hanya kes tertentu sahaja dibawa kepada siasatan sebegini (terbuka) dan SPRM masih boleh menjalankan siasatan bagi kes lain seperti biasa, contohnya seperti kes perolehan kapal tempur pesisir (LCS), yang menimbulkan pertikaian ramai pihak.

“Melalui tindakan sebegini, ia bukan sahaja melindungi SPRM daripada tanggapan liar, malah membolehkan agensi ini lebih bebas menyiasat, berbanding meletakkan suruhanjaya ini di bawah suruhanjaya lain,” katanya kepada BH.

Elak timbul spekulasi

Mengulas lanjut, Ahmad Rosli menjelaskan, siasatan dan perbicaraan terbuka di Malaysia adalah tidak asing dan ia dilakukan untuk mengelakkan timbulnya spekulasi yang akan menjejaskan badan penguatkuasaan itu sendiri.

“Sebagai contoh, kita pernah mengadakan siasatan khas membabitkan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Rahim Noor. Ketika itu saksi diarahkan untuk memberi keterangan di bawah satu suruhanjaya yang dilantik dan keterangan itu dikumpulkan dalam satu laporan yang akan menjadi satu laporan awam.

“Kesannya, semua orang melihat hasil siasatan yang dilakukan dan tiada spekulasi kedengaran selepas itu.

“Secara umum, siasatan SPRM perlu dirahsiakan tetapi dalam menangani persepsi yang tidak berkesudahan ini, pelbagai kes kepentingan awam yang sebelum ini menimbulkan spekulasi dilihat boleh dilaksanakan mengikut langkah penyiasatan terbuka seperti kes 1MDB, International Sdn Bhd (SRC) dan LCS,” katanya.

Mengulas penggubalan undang-undang untuk membolehkan SPRM mengadakan siasatan terbuka, beliau berkata, undang-undang sedia ada hanya perlu dipinda, berbanding pelaksanaan tindakan pentadbiran yang tidak bersesuaian dalam menyelesaikan masalah persepsi orang ramai.

Sementara itu, dalam satu jurnal diterbitkan The Australia Institute, mendedahkan Jawatankuasa Integriti Nasional negara itu memberi kuasa kepada suruhanjaya integriti di New South Wales, Victoria, Queenslands untuk mengadakan inkuiri awam, supaya penyiasatan yang dilakukan lebih berkesan dan menjadi kepentingan umum.

Mekanisme ini dilihat mampu mendedahkan rasuah dan salah laku kepada orang ramai; meningkatkan kepercayaan orang ramai bahawa dakwaan rasuah sedang disiasat secara adil dan demi kepentingan awam serta menjadikan penyiasatan lebih berkesan melalui bukti baharu oleh saksi.

Ia juga mendidik sektor awam dan masyarakat tentang rasuah dan isu salah laku; menghalang orang lain daripada terbabit dalam rasuah, meningkatkan integriti sektor awam dan menjadikan siasatan lebih adil.

Sementara itu, Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah (PPPR), Tan Sri Borhan Dolah menyifatkan langkah meletakkan SPRM di bawah EAIC, adalah tindakan merugikan dan tidak sepatutnya dibincangkan kerana tidak sesuai.

“Meletakkan SPRM di bawah sebuah suruhanjaya lain adalah merugikan kerana ia ditubuhkan untuk bergerak bebas dan bukan untuk dikawal. Disebabkan itulah ia dinamakan suruhanjaya.

“SPRM sendiri sudah mempunyai lima mekanisme tanggungjawab yang diwujudkan untuk bertindak sebagai semak dan imbang. Jadi di mana keperluan EAIC untuk memantau pergerakan SPRM,” katanya.

Borhan berkata, sekiranya wujud kelemahan dalam SPRM, mereka yang bertanggungjawab perlu mencari puncanya, bukan mengambil jalan singkat mengadakan agensi atau suruhanjaya baharu untuk memantau pergerakan mereka.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker