Tabahlah Salehah, berdoa supaya ada yang sudi membantu
Sik: Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Itu yang dialami seorang wanita yang menghidap ketumbuhan dalam usus dan tiada wang untuk meneruskan rawatan di hospital sejak beberapa bulan lalu.
Pada masa sama, suaminya pula terbabit kemalangan menyebabkan tangan kanannya patah seterusnya tidak boleh bekerja.
Salehah Saad, 48, berkata, dia yang menghidap ketumbuhan dalam usus sejak tahun lalu sebelum ini bekerja sebagai pembantu kedai makan dengan upah harian tetapi kini tidak boleh bekerja disebabkan sering sakit.
“Bahagian perut pula kini mengeras menyebabkan ketumbuhan pecah dan berlaku pendarahan namun saya terpaksa bertahan kerana tidak mempunyai wang untuk ke hospital.
“Saya hanya menggunakan kain batik sebagai pelapik untuk menghentikan darah kerana tidak mampu membeli lampin pakai buang,” katanya ditemui di rumahnya di Kampung Padang Besar di sini.
Menurut Salehah, dia menghidap ketumbuhan dalam usus sejak setahun lalu selepas menjalani rawatan di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) di Sungai Petani.
Namun katanya, disebabkan tiada wang kerana jarak ke HSAH dari rumahnya mengambil masa hampir dua jam, dia tidak dapat meneruskan rawatan kerana memikirkan kos ulang alik selain hanya mempunyai motosikal untuk ke sana.
“Motosikal pula rosak dan kerana tiada kenderaan lain, saya tidak dapat ke hospital walaupun tahu rawatan sangat penting bagi menentukan sama ada saya menghidap barah atau sebaliknya.
“Kalau naik teksi, saya perlu sediakan sekurang-kurangnya lebih RM100,” katanya.
Salehah berkata, suaminya, Azemi Hussin, 68, yang sebelum ini menjadi tempat mereka bergantung kini tidak dapat bekerja selepas terbabit kemalangan pada Januari lalu.
Katanya, suaminya hanya menoreh getah dengan upah RM100 seminggu.
“Rumah ini pula kami sewa pada kadar RM120 sebulan tetapi sudah hampir setahun tidak dapat membayarnya kerana kami tiada wang. Syukur tuan rumah faham keadaan kami.
“Bil elektrik dan air juga sudah tertunggak beberapa bulan,” katanya.
Salehah berkata, anak mereka, Muhammad Amirul Hakimi Azemi, 7, belajar di sekolah pondok berhampiran manakala yang bongsu, Muhammad Daniel Hakimi, 6, pula tidak bersekolah.
Katanya, akibat masalah kewangan, Muhammad Amirul Hakimi tidak dapat meneruskan pengajian dan dia bercadang untuk menghantar anaknya ke sekolah kerajaan jika mampu.
Ketika tinjauan ke rumah Salehah, dinding rumah kayu itu didapati reput selain lantai kayu pula berlubang.
Namun, dia bersyukur kerana masih memiliki tempat untuk berteduh.
Orang ramai yang ingin menghulurkan bantuan boleh menyalurkannya di akaun Bank Simpanan Nasional (BSN), 0212641100030333 atas namanya Salehah Saad.
Sementara itu, Pengerusi Cancer Survivors Malaysia (CSM) Zuraini Kamal yang mengunjungi Salehah, menghulurkan sumbangan wang, barangan dapur serta lampin pakai buang.
Katanya, dia simpati dengan nasib yang menimpa Salehah kerana dia bukan sengaja untuk tidak pergi ke hospital tetapi disebabkan desakan hidup dan tiada wang, dia terpaksa menahan kesakitan.
“CSM akan terus memberi sokongan dan memberi bantuan yang termampu buatnya demi kelangsungan hidup selain mendapatkan rawatan hospital,” katanya.
METRO