Tinggal emas saja belum digenggam Adam

PHNOM PENH: Selepas meraih gangsa pada edisi di Manila 2019 dan perak di Hanoi 2021, atlet jujitsu negara, Adam Akasyah kini mengintai kilauan pingat emas di Sukan SEA 2023 di sini, bagi melengkapkan koleksi tiga warna pingatnya.

Pemuda berusia 23 tahun itu yakin mampu meraih emas bagi acara Gi bawah 69 kilogram (kg) selepas melakukan latihan secara menyeluruh selama setahun untuk temasya dwitahunan itu.

“Persediaan kali ini adalah yang paling lengkap setakat ini berbanding dua Sukan SEA sebelumnya, iaitu kami mempunyai tambahan pakar psikologi sukan, latihan yang lebih khusus dan pasangan ‘sparring’ yang sangat bagus.

“Saya 150 peratus bersedia dan ia sepatutnya emas. Tiada tekanan untuk saya dan saya berharap dapat tuah (bertanding) kali ketiga,” katanya ketika ditemui semasa sesi latihan di sini.



Meskipun menyasarkan emas, pelajar sains sukan Universiti Malaya itu tidak memandang rendah cabaran daripada juara bertahan dari Singapura, Noah Lim yang memiliki pengalaman dan keupayaan untuk meraih mata.

Pada final edisi lalu, Adam hampir memenangi emas dengan jauh meninggalkan Lim, namun kecederaan buku lali memaksanya menarik diri daripada perlawanan itu.

Sementara itu, seorang lagi atlet jujitsu Malaysia, Soo Yan Wei, berazam untuk memperbaiki persembahannya selepas pulang dengan tangan kosong di Manila 2019.

Katanya, dia sudah bersedia bertarung dalam acara No Gi bawah 69kg lelaki, yang akan diadakan di Chroy Changvar Convention Centre, di sini.



“Pada 2019, saya buat kesilapan terlalu memikirkan tentang pingat, kali ini saya hanya mahu fokus untuk menghasilkan aksi yang lebih baik.

“Kalau anda beraksi bagus, anda punya peluang baik untuk mendapatkan pingat,” katanya.

Sukan SEA 2023 dijadualkan dibuka secara rasmi esok dan akan berlangsung hingga 17 Mei.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker