Dream Theater gegar KL Rabu depan

Kuala Lumpur : Selepas konsert pertama di Kuala Lumpur pada 2017 di Plenary Hall, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, band progresif metal dan progresif rock legenda, Dream Theater kembali menggegar ibu kota.

Kali ini, Dream Theater yang dianggotai James La Brie (penyanyi), John Petrucci (gitar), John Myung (bass), Jordan Rudess (keyboard) dan Mike Mangini (dram) akan mengadakan konsert di Zepp Kuala Lumpur, Rabu depan.

Konsert anjuran Shiraz Projects itu adalah sebahagian daripada konsert jelajah Top Of The World band dari Boston, Amerika Syarikat itu.



Selain Kuala Lumpur, Dream Theater turut memilih The Star Theater, Singapura sebagai salah satu lokasi siri jelajah ini, Selasa depan.

Ketua Pegawai Eksekutif Shizaz Projects, Shirazdeen Karim berkata, menjadi sebahagian daripada siri jelajah Top Of The World adalah kebanggaan buat mereka.

“Kami percaya peminat Dream Theater sudah lama mahu menyaksikan mereka kembali beraksi dan kami berasa sangat gembira dapat membawakan Top Of The World kepada peminat di Malaysia dan Singapura,” katanya.

Dream Theater menamatkan jelajah United Kingdom 2023 pada 21 Februari lalu. Siri jelajah Top Of The World bermula di Seoul pada 26 April lalu sebelum mereka ke Tokyo, Nagoya dan Osaka di Jepun.



Mereka kemudian bakal menggegarkan Singapura, Kuala Lumpur dan Indonesia.

Di Malaysia, populariti Dream Theater mungkin tidak seperti Metallica, Guns N Roses, Coldplay atau Aerosmith, tetapi kedatangan mereka tetap dinanti-nanti terutama dalam kalangan pemuzik rock.

Ini kerana Dream Theater adalah band yang cukup dikenali dengan ketelitian mereka dalam penghasilan muzik. Gubahan muzik mereka dilihat cukup kompleks dan padat terutama daripada permainan gitar Petrucci yang juga ‘mastermind’ mereka.

Petrucci adalah antara pemain gitar terhebat dunia. Dia pernah diletakkan di kedudukan kedua sebagai Pemain Gitar Metal Terbaik dalam buku The 100 Greatest Metal Guitarists pada 2009.



Selain itu, Petrucci pernah dinamakan sebagai seorang daripada ‘Top 10 Fastest Shredders of All Time’ oleh majalah GuitarOne.

Bukan saja Petrucci, Rudess juga dilabel antara pemain keyboard terhebat dunia oleh pelbagai majalah muzik antaranya MusicRadar. Begitu juga dengan Myung yang diiktiraf sebagai antara pemain bass terhebat sepanjang zaman dalam undian dijalankan MusicRadar pada 2010.

Malah, bekas pemain dram, Mike Portnoy yang meninggalkan band ini pada 2010 juga bukan calang-calang pemuzik. Dia sudah memenangi 30 anugerah daripada majalah Modern Drummer dan antara pemain dram termuda disenaraikan dalam Rock Drummer Hall of Fame ketika berusia 37 tahun.

Portnoy yang juga pengasas Dream Theater bersama Petrucci dan Myung adalah tulang belakang dalam gubahan muzik band ini bersama Portnoy.



Skil teknikal dalam permainan dramnya menjadikan Portnoy sebagai antara pemain dram terhebat dunia.

Album terakhir Dream Theater berjudul A View From The Top Of The World dilancarkan pada 2021 dan ia adalah projek pertama yang dirakamkan di studio milik mereka iaitu Dream Theater Headquarters.

Dream Theater juga dikatakan sedang membuat persediaan untuk merakamkan album terbaharu yang juga album ke-16 mereka.

Menurut Petrucci, buat masa ini mereka masih mengusahakannya tetapi tidak merasakan bahawa mereka akan berada di studio rakaman dalam masa terdekat.



“Mungkin hujung tahun ini baru kami masuk ke studio,” katanya.

Terdahulu, lagu The Alien dari album A View From The Top Of The World memenangi kategori Persembahan Metal Terbaik di Grammy Awards ke-64 tahun lalu.

Dream Theatre dalam satu kenyataan memaklumkan album berkenaan sebagai persembahan muzik terbaik mereka.

Ini berikutan perkembangan bunyi yang mereka cipta di samping mengekalkan elemen-elemen baharu dan lama yang sekali gus diminati peminat mereka di seluruh dunia.



Maklumat mengenai tiket di www.myticket.asia atau laman sosial Shiraz Projects.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button