Jenazah dua beradik selamat dikebumikan berdekatan kubur ibu

Kuala Nerus: Jenazah dua beradik yang maut selepas motosikal dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan lori di Kilometer (KM) 257.4 Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) arah selatan, dekat susur keluar ke Senawang, di sini, pagi tadi selamat dikebumikan malam ini.

Jenazah Mohd Husaini Amir Harun, 29, dan adiknya Muhammad Amirul Syafiq, 25, dikebumikan bersebelahan kubur ibu mereka di Tanah Perkuburan Islam (TPI) Bukit Tunggal, di sini, 11.15 malam.

Terdahulu jenazah dua beradik itu tiba di rumah keluarganya di Kampung Pengkalan Batu, di sini, jam 7.30 malam selepas selesai bedah siasat di Unit Forensik Hospital Tuanku Jaafar (HTJ) Seremban.



Jenazah disembahyangkan di rumah keluarganya di Kampung Pengkalan Batu, di sini, sebelum dibawa ke TPI Bukit Tunggal untuk disemadikan jam 10.30 malam.

Seramai lebih 200 orang terdiri daripada keluarga, sanak saudara, rakan dan penduduk menghadiri majlis pengebumian itu.

Bapa arwah, Harun Ismail, 68, ketika ditemui berkata, pada mulanya keluarga bercadang untuk mengebumikan dalam satu liang namun disebabkan ruang terhad, mereka asingkan dan berdekatan kubur ibu mereka, Rogayah Mohd Noor, 48, yang meninggal pada 7 Mei 2021.



Katanya, dia mengetahui kejadian menimpa Mohd Husaini selepas dihubungi menantu, Nur Farahah sebelum bergegas ke Seremban

“Semalam baru bercakap dengan dia (Sani dan Syafik) hari ini dua-dua dah tak ada. Memang terkejut rasa macam tidak percaya (meninggal dunia). Tapi saya reda dengan pemergian mereka kerana ajal maut di tangan Tuhan,” katanya dalam nada sebak.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button