Sukan SEA Kemboja dibuka secara rasmi

PHNOM PENH: Penantian 64 tahun untuk temasya Sukan SEA berlangsung di bumi Kemboja akhirnya terlerai apabila edisi ke-32 dibuka secara rasmi di Stadium Morodok Techno, dekat sini, sebentar tadi.

Upacara perasmian temasya dwitahunan bertemakan ‘Sports Live In Peace’ itu berlangsung dalam suasana cukup meriah menerusi persembahan menarik daripada ribuan sukarelawan Sukan SEA Kemboja.

Lebih menarik lagi, penganjur turut menyelitkan persembahan seni bela diri tradisional masyarakat Kemboja iaitu ‘kun bakator’ dalam usaha memperkenalkannya kepada umum.

Selain itu, persembahan nyanyian dan lampu mewarnai acara berkenaan sekali gus memukau puluhan ribu penonton yang hadir pada majlis terbabit.



Kontinjen negara yang diwakili seramai 42 orang diketuai Ketua Kontinjen (CDM), Datuk Mohd Nasir Ali bersama Timbalannya, Datuk Shalin Zulkifli dan Sharon Wee.

Atlet karate negara yang juga pemenang pingat emas tiga kali Sukan SEA, R Sharmendran diberi tanggungjawab membawa Jalur Gemilang pada majlis perarakan masuk ke venue itu.

Pada edisi kali ini, kontinjen negara tampil serba ringkas namun tetap bergaya memperagakan pakaian batik yang melambangkan identiti dan budaya Malaysia.

Wakil lelaki memakai batik berwarna biru melambangkan kedamaian dalam arena sukan sebagai tanda kesediaan tampil ke gelanggang dengan diiringi semangat kesukanan tinggi manakala wanita pula berbusana batik merah yang menggambarkan keberanian serta semangat agresif dalam usaha mencapai kemenangan.



Untuk temasya kali ini, kontinjen Malaysia disertai 677 atlet dan 237 pegawai dengan sasaran diletakkan bagi meraih 40 pingat emas 37 perak dan 64 gangsa dalam 37 acara disertai.

Pada edisi terakhir di Hanoi, Vietnam tahun lalu, Malaysia mengakhiri saingan di kedudukan keenam keseluruhan dengan mengutip 39 pingat emas, 45 perak dan 90 gangsa.

Berdasarkan prestasi semasa, empat jenis sukan dijangka menjadi penyumbang kepada sasaran 40 emas itu dengan olahraga, hoki, karate dan terjun menjadi lubuk kepada negara.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker