Wanita muat naik video hasutan terhadap Sultan Perak ditahan

Kuala Lumpur: Polis menahan seorang wanita berusia 34 tahun kerana disyaki memuat naik video yang mengeluarkan kenyataan berunsur hasutan terhadap Sultan Perak di akaun media sosial Tiktok , Isnin lalu.

Setiausaha Polis Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin dalam kenyataan memaklumkan suspek ditahan di kawasan parkir kereta di Klang, Selangor hari ini.

“Polis turut merampas sebuah telefon bimbit jenama Vivo Y15A serta dua kad sim dan kes disiasat oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas, Bahagian D5, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan 1948 kerana mendatangkan kebencian terhadap mana-mana raja atau kerajaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 iaitu penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian,” katanya.

Beliau berkata permohonan reman terhadap suspek akan dibuat esok di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah.

Noorsiah turut menasihati orang awam supaya tidak menyalahgunakan media sosial atau sebarang rangkaian komunikasi dengan mengeluarkan kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman dan keselamatan awam.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker