Dapat pengajaran berguna – Azam Azmi
Phnom Penh: Kekalahan kepada Thailand, semalam meletakkan skuad bawah 22 (B-22) tahun negara berada dalam misi wajib menang ke atas Vietnam untuk membuka peluang ke separuh akhir acara bola sepak Sukan Sea Kemboja 2023.
Namun, berdepan Vietnam di Stadium Prince, esok bukan satu tugas mudah buat skuad kendalian E Elavarasan berdasarkan reputasi skuad Golden Star Warriors yang hadir selaku juara bertahan.
Kapten skuad negara, Azam Azmi Murad mengakui pasukannya mendapat pengajaran berguna ketika menentang Thailand dan mahu menjadikan kekalahan itu sebagai semangat untuk bangkit semula.
Dia bagaimanapun berkata, skuad ‘Harimau Muda’ perlu meningkatkan persembahan dalam semua aspek jika mahu mencapai misi menundukkan Vietnam.
“Bagi saya semua (aspek) perlu tingkatkan. Kami kalah dengan Thailand, jadi bagi saya tiada pilihan lain lagi dan kami kena menang lawan Vietnam dan juga Singapura.
“Kami tahu Vietnam pasukan kuat, kami harus lebih fokus kerana jika hilang tumpuan kami akan dihukum. Itu antara perkara yang kami perlu perbaiki,” katanya.
Selepas mengharungi dua perlawanan, Malaysia kini menghuni tangga ketiga dengan mengumpul tiga mata manakala Vietnam dan Thailand yang merekodkan dua kemenangan menguasai kelompok dua teratas dengan enam mata.
Sementara itu, Elavarasan tetap optimis bahawa anak buahnya akan bangkit dengan aksi lebih baik sambil menganggap Vietnam juga perlu menang ke atas Malaysia.
“Bagi Vietnam, ia perlawanan yang penting juga sebab perlawanan terakhir mereka akan berdepan dengan Thailand. Jadi (berdepan Malaysia) akan jadi perlawanan penentu untuk mereka.
“Perlawanan itu (menentang Vietnam) juga penting buat kami, saya fikir kami masih optimis dan akan bangkit,” katanya.
METRO