Malaysia gagal mempertahankan pingat emas

PHNOM PENH: Skuad hoki dalam dewan lelaki negara gagal mempertahankan pingat emas di pentas Sukan SEA apabila tewas 1-2 kepada Indonesia menerusi penentuan shoot-out dalam aksi final yang dramatik, hari ini.

Lebih mengecewakan apabila pingat emas seakan sudah berada dalam genggaman skuad negara selepas mereka mendahului tiga gol dalam perlawanan yang berlangsung di Dinosaur Park Hall.

Skuad kendalian Mohd Hanip Che Halim selesa mendahului hasil jaringan Danial Asyraf Abdul Ghani pada minit ke-16, Muhammad Firdaus Omar (minit 21) dan Faridzul Afiq Mohd (minit 24).

Namun, kealpaan dalam tempoh tiga minit terakhir menyebabkan skuad negara dihukum dengan tiga gol pantas Indonesia yang bermula dengan jaringan Muhammad Firdaus pada minit ke-37.

Dua minit kemudian Ferdian Rahman menjaringkan gol kedua Indonesia sebelum jaringan penyamaan mereka menerusi pukulan sudut penalti Revo Priliandro ketika perlawanan hanya berbaki kira-kira lima saat dianggap menjadi pemusnah impian Malaysia.

Terikat 3-3 selepas tamat masa sebenar, pemenang ditentukan menerusi shoot-out dan skuad Malaysia terpaksa akur melepaskan gelaran juara yang dimenangi dua kali beturut-turut pada 2017 dan 2019 kepada Indonesia selepas Izham Azhar dan Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan gagal menyudahkan pukulan shoot-out.

Kapten skuad negara, Muhammad Aslam Mohamed Hanafiah tidak dapat menyembunyikanm perasaan sedih dengan dia kelihatan sebak ketika ditemu bual media selepas perlawanan.

“Kami sudah melakukan yang terbaik, tetapi bukan rezeki kami untuk kali ini. Mungkin ada sedikit kelekaan di bahagian pertahanan, dan mungkin sebab itu kita bolos saat akhir,” katanya.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker