‘Saya okay, dah keluar hospital’ – Shaheizy Sam
Kuala Lumpur : Jangkitan dalam darah menjadi punca pelakon, Shaheizy Sam atau Sam, 40, dimasukkan ke pusat perubatan di Shah Alam, baru-baru ini.
Sam atau nama sebenarnya Shaheizy Sam Abdul Samad berkata, dia diserang demam panas sejak hari pertama Aidilfitri dan berterusan selama beberapa hari.
“Alhamdulillah, dah okay. Demam panas sejak hari pertama raya. Kebah sekejap kemudian hujung minggu hari itu demam panas lagi. Jangkitan dalam darah tinggi sangat.
“Sekarang sudah keluar (hospital). Saya sedang berehat di rumah emak di Melaka sekarang,” katanya.
Pelakon filem Polis Evo itu tidak menafikan keletihan melampau menjdi punca kesihatannya tumbang kerana tidak henti-henti bekerja pada Ramadan lalu.
“Bulan puasa tempoh hari, saya berniaga habis-habisan. Selain itu banyak jalan ke sana-sini dan dan kurang tidur. Itu yang buat ‘koyak’,” katanya.
Menurut Sam, dia masih sempat beraya tapi dalam keadaan tidak tenteram selain merasa sangat penat.
“Sempatlah bangun bergambar dengan keluarga pada sebelah tengah hari Aidilfitri pertama tempoh hari. Selepas itu tidur balik.
“Raya keempat sebenarnya sudah kebah. Sambung berayalah kemudian dia datang balik,” katanya.
METRO