Dua pejalan kaki maut, dua parah dirempuh kereta terbabas

KUALA LUMPUR: Dua pejalan kaki maut dirempuh sebuah kereta yang hilang kawalan di Jalan Raja Laut, di sini awal pagi semalam.

Kejadian pada jam 3 pagi itu dipercayai berlaku apabila Perodua Myvi melanggar Proton Wira yang mengubah haluan sebelum hilang kawalan.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, kemalangan berkenaan membabitkan empat kenderaan dan empat pejalan kaki.

“Siasatan awal mendapati, Perodua Myvi terbabit hilang kawalan sebelum melanggar empat pejalan kaki menyebabkan dua daripadanya maut.

“Seorang mangsa berusia 22 tahun mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di lokasi manakala seorang lagi pejalan kaki meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Kuala Lumpur (HKL),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dua mangsa pejalan kaki yang lain cedera parah dan masih dirawat di hospital.

“Pemandu Proton Wira berusia 22 tahun dan pemandu Perodua Myvi berusia 20 tahun tidak mengalami kecederaan dan sedang direman selama 4 hari untuk siasatan selanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu merbahaya sehingga menyebabkan kematian,” katanya.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03- 20260267/69 atau mana- mana balai polis berampiran.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker