Datuk Abu Samah Mohd Noor dilantik sebagai Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur

Kuala Lumpur: Ketua Cawangan Khas Polis Kuala Lumpur, Datuk Abu Samah Mohd Noor dilantik sebagai Pemangku Ketua Polis Kuala Lumpur berkuat kuasa hari ini bagi menggantikan Datuk Yahaya Othman yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Polis Pahang.

Majlis serah terima tugas jawatan itu disaksikan Pengarah Jabatan Pengurusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Datuk Azmi Abu Kassim di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, di sini.

Beliau akan memangku jawatan itu sehingga Ketua Polis Kuala Lumpur yang baharu Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain bertugas pada 15 Mei ini.

Abu Samah juga dipertanggungjawabkan untuk memangku jawatan Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur sehingga nama pengganti diumumkan oleh PDRM.



Ketika ini, Mohd Shuhaily adalah Ketua Polis Pulau Pinang, sementara Abu Samah pula turut akan dinaikkan pangkat sebagai Timbalan Ketua Polis Kedah berkuat kuasa pada 22 Mei ini.

Dalam majlis sama, turut berlangsung serah terima tugas bagi jawatan Ketua Polis Daerah Sentul antara Senior Asisten Komisioner Beh Eng Lai yang dinaikkan pangkat sebagai Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Kuala Lumpur dengan bekas Ketua Unit Siasatan Jenayah Persatuan, Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman Asisten Komisioner Ahmad Sukarno Mohd Zahari.

Sementara itu, Azmi berkata, beliau percaya dengan kebolehan Abu Samah bagi meneruskan agenda dan perancangan demi mencapai tahap prestasi kontinjen yang membanggakan.

“Saya berharap semua warga PDRM Kontinjen Kuala Lumpur memberikan sokongan padu kepada Datuk Abu Samah bagi mencapai kecemerlangan dalam organisasi ini,” katanya ketika berucap dalam majlis berkenaan.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker