Mati ‘misteri’

Paris: Seorang penuntut universiti meninggal dunia akibat serangan jantung ‘misteri’ ketika melawat ibu saudaranya di Paris.

The Sun UK melaporkan, Rhea Hourigan, 19, sedang mandi apabila ibu saudaranya terdengar bunyi dentuman dan mendapati remaja itu tidak sedarkan diri dalam bilik air.

Insiden tragis itu berlaku selepas Rhea seharian menjelajah bandar dengan basikal elektrik, malah sempat merakam gambar kenangan di depan lokasi terkenal Paris seperti Arc de Triomphe hanya beberapa jam sebelum dia disahkan meninggal.



Menceritakan kejadian, rakan keluarga, Polly Townhill berkata, mangsa berada dalam bilik air untuk masa yang agak lama, sebelum ibu saudaranya mengetuk pintu bertanya sama ada keadaannya baik atau tidak.

“Ya, ya, saya sudah mahu keluar, jawab Rhea sebelum ibu saudaranya terdengar bunyi dentuman,” katanya.

Paramedik yang tiba tidak dapat menyelamatkan penuntut muda itu yang tidak diketahui mengalami sebarang masalah jantung.

Mayat Rhea masih di Paris kerana bedah siasat akan dijalankan, kemudian akan dibawa pulang ke Shirley di West Midlands di England.



Polly berkata, keluarga remaja itu bergelut dengan kesukaran kerana mereka memerlukan jurubahasa untuk mengetahui laporan bedah siasat.

“Rhea mempunyai insurans perjalanan penuh tetapi tidak meliputi apa yang (keluarga) mereka perlukan. Terdapat begitu banyak kerenah di sana dan mereka menganggap kematiannya sebagai mati mengejut.

“Ia masih menjadi tragedi tetapi ibu bapanya tidak dapat melihat anak mereka. Mereka terdesak untuk membawanya pulang,” katanya.

Ketika ini, Polly berkata, keluarga remaja itu cuba mendapatkan bantuan orang ramai melalui portal GoFundMe bagi membiayai kos pengebumian dan kerenah yang mereka hadapi di Perancis.



Rhea di tahun pertama universiti di Durham dan bekerja di sebuah restoran tempatan.

Agensi

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button