Everton, Forest terselamat, Leicester makin parah

LONDON: Everton keluar dari zon penyingkiran Liga Perdana Inggeris dengan kemenangan 5-1 di Brighton, manakala nasib Leicester masih tergantung selepas tewas 5-3 di Fulham.

Nottingham Forest juga terkeluar daripada kelompok tiga tercorot selepas menewaskan satu lagi pasukan bergelut, Southampton 4-3.

Brighton sedang memburu kelayakan untuk ke kejohanan Eropah buat pertama kali dalam sejarah kelab, tetapi jadual padat mula memberi impak ke atas skuad kendalian Roberto De Zerbi apabila dibelasah Everton, pasukan yang tidak pernah menang di tempat lawan sejak Oktober.

The Toffees bermula cemerlang dengan Abdoulaye Doucoure membuka jaringan hanya selepas 34 saat permainan bermula.

Dia kemudian menambah jaringan hasil hantaran Dwight McNeil sebelum penjaga gol Brighton, Jason Steele tertampan bola hantaran McNeil ke gawang sendiri.

De Zerbi melakukan empat pertukaran ketika rehat dan mula mengasak gawang Everton, namun diperangkap oleh serangan balas dan McNeil menewaskan Steele untuk menjadikan kedudukan 4-0.

Alexis Mac Allister merapatkan jurang untuk Brighton selepas percubaan Kaoru Mitoma terkena tiang. Namun McNeil memastikan kemenangan Everton dengan jaringan dalam masa kecederaan.

Kemenangan pertama dalam lapan perlawanan melonjak skuad kendalian Sean Dyche dua mata di atas zon penyingkiran.

“Ia adalah persembahan berkualiti yang kami mahu bina. Ia membuktikan yang ia sudah ada – tetapi kami perlu mencari cara untuk mengekalkannya,” kata Dyche.

Brighton kekal di tangga ketujuh, dua mata di belakang Tottenham tetapi bermain kurang dua perlawanan, bagaimanapun impian mereka untuk mengejar kelompok empat teratas semakin tertutup.

Pengendali Leicester, Dean Smith mengakui pemain-pemainnya bergelut dengan tekanan penyingkiran selepas persembahan buruk di Craven Cottage.

Juara Liga Perdana Inggeris 2016 dan Piala FA dua tahun lalu itu kini berdepan risiko penyingkiran selepas Everton dan Forest merakam kemenangan, dan berdepan Liverpool, Newcastle serta West Ham pada baki saingan musim ini.

Hanya Leeds dan Bournemouth saja dibolosi lebih banyak berbanding Leicester dalam saingan liga dan kelemahan pertahanan mereka sekali lagi membawa padah di Craven Cottage.

Jaringan Willian, Carlos Vinicius dan Tom Cairney meletakkan Fulham 3-0 di depan sebelum rehat.

Cairney dan Willian menambah jaringan sebelum dan selepas gol pembukaan Leicester yang disempurnakan Harvey Barnes.

Jamie Vardy turut menyaksikan sepakan penaltinya diselamatkan Bernd Leno dan James Maddison memastikan penalti kedua Leicester menemui sasaran sebelum Barnes menjadikan kedudukan 5-3.

Forest kini tiga mata di atas garis selamat selepas menewaskan Southampton 4-3.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker