Hasanuddin dilantik YDP YADIM baharu

PUTRAJAYA: Bekas Ahli Parlimen Hulu Langat, Datuk Hasanuddin Mohd Yunus dilantik sebagai Yang DiPertua (YDP) Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang baharu.

YADIM melalui kenyataan media hari ini berkata, pelantikan Hasanuddin itu dipersetujui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, Hasanuddin berpengalaman luas dalam bidang pengurusan dan hal ehwal masyarakat, sesuai dengan gerak kerja YADIM yang membabitkan dakwah kepada orang ramai.

Beliau juga sebelum ini aktif dalam aktiviti kemasyarakatan selain terbabit dengan badan badan bukan kerajaan (NGO).

Pelantikan Hasanuddin ini bagi menggantikan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Nasruddin Hassan.

Kenyataan itu turut memaklumkan, Pensyarah Kanan Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), Prof Madya Dr Adi Anuar Azmin @Che Wan dilantik sebagai Timbalan Yang Dipertua badan dakwah itu.

Bersesuaian dengan pembabitan Adi Anuar dalam bidang pendidikan, lantikan ini dapat membantu YADIM dalam melahirkan daie muda bagi menjalankan aktiviti dakwah di negara ini.

Pelantikan bagi dua jawatan bukan eksekutif ini berkuatkuasa 3 Mei lalu.

YADIM percaya dengan pengalaman dan kepimpinan dua tokoh ini akan dapat meningkatkan YADIM sebagai badan dakwah bagi menyebar nilai murni Islam dengan Rahmah sesuai dengan aspirasi Malaysia sebagai sebuah negara Madani.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker