Sivakumar sahkan 5 pegawai dipecat
BANGI: Menteri Sumber Manusia, V Sivakumar hari ini mengesahkan bahawa lima pegawainya yang disiasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sudah ditamatkan kontrak.
Menurut Sivakumar, pemecatan lima pegawainya yang terpalit dalam skandal rasuah membabitkan pengambilan pekerja asing itu dilakukan bagi memastikan kementerian dapat berfungsi dengan lancar.
Bagaimanapun, Ahli Parlimen Batu Gajah daripada DAP itu enggan mengulas ketika ditanya pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan arahan supaya kelima-lima pegawainya dipecat.
“Itu (pemecatan lima pegawai) memang ada kerana kita nak pastikan bahawa kementerian dapat berfungsi dengan lancar dan baik,” katanya ringkas.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Persidangan Kemuncak Bagi Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) Bersaya Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC OSH Summit) 2023 di sini, hari ini.
Ditanya mengapa penamatan kontrak lima pegawainya itu dilakukan ketika siasatan SPRM masih berjalan dan mereka masih belum didapati bersalah, Sivakumar hanya mengunci mulut.
Khamis lalu, portal berita FMT dan NST yang memetik sumber Kementerian Sumber Manusia (KSM) melaporkan, lima pegawai Sivakumar ditamatkan kontrak, manakala seorang lagi pegawai dipindahkan ke Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Pemecatan itu rentetan tindakan SPRM menahan dua pegawai kanan Sivakumar susulan siasatan suruhanjaya itu membabitkan isu rasuah dalam sebuah agensi pengambilan pekerja asing, bulan lalu.
Susulan penahanan pegawainya ketika itu, Sivakumar dilaporkan menggantung tugas tiga pegawai kanannya termasuk seorang setiausaha sulit dan seorang pegawai tugas-tugas khas (PTTK) yang ditahan SPRM.
Beberapa hari kemudian, media melaporkan SPRM menggeledah pejabat dan kediaman Sivakumar, namun Menteri Sumber Manusia itu kemudian menafikan perkara itu, di samping menegaskan akan memberi kerjasama penuh kepada SPRM.
SPRM turut dilaporkan mengambil kenyataan Sivakumar berhubung siasatan kes rasuah mengenai pengambilan pekerja asing itu pada 16 April lalu.
BHOnline