Ambil kira tanggungan, kos sara hidup pengelasan M40, T20



Pengelasan kelas pendapatan isi rumah merujuk kepada kelas atau kumpulan isi rumah berdasarkan jumlah pendapatan diperoleh. Mengikut Jabatan Statistik Malaysia, pendapatan adalah hasil biasa diperoleh dan pasti diterima semua ahli isi rumah daripada punca pendapatan seperti pendapatan bergaji, bekerja sendiri, harta dan pelaburan serta pindahan semasa diterima.

Di negara ini, kelas pendapatan isi rumah diklasifikasi kepada tiga kumpulan utama, iaitu T20, M40 dan B40. Kumpulan isi rumah bagi kategori B40 adalah isi rumah berpendapatan di bawah RM4,360, manakala M40 (RM4,360-RM9,619) dan T20 (melebihi RM9,619).

Klasifikasi ini merujuk kepada jumlah hasil pendapatan isi rumah diterima hingga 2020 kerana Jabatan Perangkaan Malaysia kemudiannya, mengeluarkan maklumat berkaitan pengelasan baharu isi rumah dengan kategori B40 dan M40 dibahagikan kepada empat kumpulan, manakala T20 dibahagikan kepada dua kumpulan utama mengikut had pendapatan isi rumah.

Bagaimanapun, dengan keadaan ekonomi semasa selepas pandemik COVID-19 ditambah peningkatan kos sara hidup, adakah pengelasan pendapatan isi rumah baharu masih relevan? Jika dilihat secara menyeluruh, sudah semestinya ia tidak lagi relevan dengan senario semasa hingga memerlukan kajian baharu untuk mengklasifikasikan kategori pendapatan isi rumah itu.



Soalnya, mengapa ia dahulu relevan diguna pakai dan apakah faktor menyebabkan ia tidak lagi bersifat demikian. Semua persoalan ini perlu dijawab dan difikirkan agar tiada mana-mana individu terbeban ekoran senario ekonomi semasa.

Dengan keadaan ekonomi semasa tidak menentu, ditambah peningkatan kos sara hidup, sudah tiba masanya pihak berwajib mengkaji kembali pengelasan pendapatan isi rumah ini. Mungkin perlu diwujudkan satu mekanisme komprehensif dalam menentukan kelas pendapatan isi rumah.

Ia tidak lagi hanya bersandarkan jumlah pendapatan diperoleh semata-mata, tetapi perlu menilai dari pelbagai aspek termasuk keadaan ekonomi dan sosial semasa untuk memastikan kesamarataan, keadilan dan tiada penindasan berlaku.

Kita melihat golongan banyak mendapat perhatian daripada pelbagai agensi, sudah semestinya B40 dan kita bersetuju tumpuan itu. Ini kerana B40 perlu dibantu dan diberi perhatian sewajarnya.



Namun, bagaimana pula golongan pendapatan isi rumah dalam golongan M40 dan T20 yang sering memikirkan tiada apa-apa diperoleh kecuali hanya membayar cukai? Hakikatnya, golongan itu juga berjuang dan bekerja keras dalam memastikan kehidupan mereka stabil.

Akhirnya golongan ini akan jatuh kepada kategori B40 seperti terbukti dengan hasil kajian dijalankan Jabatan Perangkaan Malaysia yang merekodkan 20 peratus isi rumah M40 beralih di bawah had pendapatan B40 dan 12.8 peratus isi rumah T20 beralih ke had pendapatan M40. Hasil kajian ini mengambil kira impak pandemik COVID-19 kepada ekonomi dan sosial sesebuah isi rumah.

Jadi dalam memastikan pengelasan golongan isi rumah, aspek paling penting semestinya adalah melihat jumlah pendapatan diperoleh dan jumlah tanggungan. Kita melihat senario bagi sebuah isi rumah tergolong dalam kumpulan T20. Dengan jumlah pendapatan diperoleh, ia membolehkan isi rumah berkenaan tergolong dalam golongan T20.

Namun, jumlah pendapatan berkenaan tidak mengira berapa jumlah perlu ditanggung isi rumah. Seandainya isi rumah mempunyai lima anak masih kecil dan perlu dihantar ke pusat jagaan sudah semestinya jumlah pendapatan diperoleh perlu dibelanjakan dahulu dengan membayar pusat jagaan terbabit. Akhirnya jumlah pendapatan sebenar tidaklah mencapai status sebenar isi rumah T20, mungkin tergolong dalam kumpulan M40 atau terjerumus ke B40.



Agihan bayaran perbelanjaan tetap

Di samping itu, aspek jumlah perbelanjaan juga perlu diambil kira dalam pengkelasan pendapatan isi rumah. Ini kerana dengan jumlah pendapatan diperoleh sudah semestinya akan diagihkan untuk membayar bagi perbelanjaan tetap umpamanya hutang pinjaman rumah, kereta, persendirian dan pendidikan sekiranya ada.

Apabila aspek ini diambil kira, sudah semestinya ramai dalam kalangan isi rumah T20 mungkin akan tergolong dalam golongan B40 dan M40. Dengan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang sudah beberapa kali dinaikkan, ia pastinya memberi kesan amat signifikan dalam perbelanjaan membayar hutang pinjaman kepada institusi kewangan.

Apabila perbelanjaan diagihkan untuk membayar perbelanjaan tetap, akhirnya lebihan wang hanya cukup untuk menampung perbelanjaan harian sehingga hujung bulan. Tiada wang lebihan untuk disalurkan kepada simpanan dan sebagainya bagi keperluan masa hadapan, ditambah peningkatan harga barang dan kos sara hidup sudah semestinya jumlah pendapatan diperoleh tidak mencukupi.



Kerajaan melalui Jabatan Perangkaan Malaysia sedang memuktamadkan hasil dapatan daripada Survei Pendapatan, Perbelanjaan dan Kemudahan Asas (HIES BA) 2022 membabitkan 92,000 isi rumah dijalankan bermula Januari hingga Disember 2022.

Rentetan itu, had pendapatan bagi setiap kumpulan akan dikemas kini dan hasilnya dijangka diterbitkan pada pertengahan 2023. Ini satu tindakan baik dan kita perlu menyambut baik usaha kerajaan dalam membantu isi rumah.

Namun, apakah aspek diberi perhatian dalam menentukan had pendapatan isi rumah berkenaan? Kita mengharapkan kajian seperti ini akan dapat membuat penambahbaikan kepada pengelasan pendapatan isi rumah. Diharapkan tiada lagi rungutan dan ketidakpuasan hati setengah golongan memperkatakan mereka sering kali ‘ditindas’ dan tidak mendapat perhatian sewajarnya.

Penulis adalah Pensyarah Kanan
Jabatan Ekonomi dan Pengajian Kewangan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Puncak Alam



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker