Dokumen analisis forensik diserahkan kepada Guan Eng bagi pembelaan

KUALA LUMPUR: Pendakwaan sudah menyerahkan laporan analisis forensik mengandungi perbualan WhatsApp antara dua ahli perniagaan kepada bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, untuk digunakan dalam pembelaan kes rasuah yang sedang dihadapinya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Farah Yasmin Salleh memaklumkan kepada Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi, dokumen berkenaan diserahkan pendakwaan kepada peguam bela Guan Eng pada 18 April lalu.

Perkara itu disahkan Peguam Bela, Haijan Omar pada prosiding sebutan kes rasuah berkenaan hari ini bagi mengetahui perkembangan penyerahan laporan terbabit.

Permohonan Guan Eng untuk mendapatkan laporan analisa forensik itu dibenarkan Azura pada 5 April lalu, selepas memutuskan beliau berjaya menunjukkan kepada mahkamah mengapa ia perlu dan penting kepada kes pembelaannya.



Perbualan WhatsApp dalam laporan terbabit di antara Pengarah Kewangan dan Perkhidmatan Korporat Consortium Zenith Construction Sdn Bhd (CZCSB) CZCSB, Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dan G Gnanaraja adalah berhubung pembayaran wang RM2 juta melalui baucar pembayaran dan cek.

Guan Eng sedang dibicarakan dengan tuduhan pindaan menggunakan kedudukan sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang untuk menerima rasuah RM3.3 juta dalam membantu syarikat milik Zarul Ahmad mendapatkan projek pembinaan bernilai RM6,341,383,702.

Dia juga didakwa meminta suapan daripada Zarul Ahmad sebanyak 10 peratus daripada keuntungan diperoleh syarikat itu, sebagai penghargaan mendapatkan projek berkenaan.

Bekas Setiausaha Agung DAP itu turut berdepan dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah bernilai RM208.8 juta milik kerajaan Pulau Pinang dilupuskan kepada dua syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan projek terowong dasar laut.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker