Kakitangan Imigresen dituduh terima rasuah, subahat seludup PATI

TAWAU : Dua kakitangan Imigresen yang ditahan dalam ‘Ops Lancar’ didakwa di Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini masing-masing atas tuduhan bersubahat dan menerima rasuah untuk menyeludup keluar pendatang asing tanpa izin (PATI) melalui lapangan terbang.

Kedua-dua tertuduh, Rosmaini Sapar, 40, dan Elmin Salleh, 30, kakitangan Imigresen Gred KP19 dan masing-masing bertugas di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Tawau dan Kaunter Lapangan Terbang Tawau (LTT) mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Jason Juga.

Tertuduh pertama, Rosmaini didakwa menerima wang berjumlah RM4,500 daripada Rahmah Mobin, 48.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Bank Muamalat Cawangan Tawau, di Lot 69 & 70, Ground & 1st Floor, No G4 & G6, Kubota Square, pada 22 Mac lalu.



Suapan itu sebagai dorongan bagi melepaskan sembilan (9) orang PATI yang menggunakan kad pengenalan orang lain untuk melepasi kaunter pemeriksaan Imigresen 1, Lapangan Terbang Tawau untuk menaiki penerbangan Myairline ke KLIA2 antara jam 8 pagi hingga 9 pagi pada 23 Mac lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 Akta yang sama yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Elmin pula didakwa mengikut Seksyen 28(1)(c) ASPRM 2009 dibaca bersama Seksyen 16(a)(B) akta sama atas kesalahan bersubahat dengan Rosmaini yang secara rasuah menerima wang berjumlah RM4,500 iaitu sebagai dorongan untuk melepaskan sembilan PATI yang menggunakan kad pengenalan orang lain untuk melepasi kaunter pemeriksaan Imigresen 1, Lapangan Terbang Tawau untuk menaiki penerbangan Myairline ke KLIA2 antara jam 8 pagi hingga 9 pagi pada 23 Mac lalu.

Kesalahan itu dilakukan di Bank Muamalat Cawangan Tawau, di Lot 69 & 70, Ground & 1st Floor, No G4 & G6, Kubota Square, pada 22 Mac lalu.



Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dengan deposit RM5,000 keatas kedua-dua tertuduh serta syarat tambahan iaitu perlu melapor diri ke Pejabat SPRM Tawau sekali dalam tempoh dua bulan, pasport antarabangsa diserah kepada mahkamah, selain dilarang menggangu saksi pendakwaan sehingga kes selesai dibicarakan.

Hakim turut menetapkan 27 Julai depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya (TPR) SPRM Nurul Izzati Sapifee manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Jhesseny P Kang.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker