HENTI POLITIKKAN TULISAN JAWI – EXCO KERAJAAN NEGERI PAHANG

JANGAN POLITIKKAN TULISAN JAWI.

 

MOHD SHARKAR SHAMSUDIN
Exco Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan & Komoditi Negeri Pahang.

SALAHKAH kerajaan negeri Pahang mahu memartabatkan tulisan Jawi? Lagipun arahan menyertakan semua papan tanda di jalan raya dan premis perniagaan dengan tulisan tulisan Jawi bukanlah suatu yang sukar untuk dilaksanakan.

Saya tidak faham mengapa masih ada pihak yang menentang kerana tulisan Jawi sememangnya sebahagian daripada bahasa Melayu.

Bimbang didenda RM250? Jika bimbang sertakan sahajalah tulisan Jawi di papan tanda premis perniagaan, jika tidak mahu membuat papan tanda baru, tampal sahaja tulisan Jawi mengikut saiz dan ukuran yang ditetapkan. Adakah cara sebegini pun sukar untuk dilaksanakan?



Jadi saya tidak faham kenapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tras, Chow Yu Hui memfailkan permohonan mahkamah mencabar ketetapan kerajaan Pahang mewajibkan tulisan Jawi di papan tanda dan iklan di premis perniagaan di negeri itu.

Sejurus selepas itu, ADUN Ketari, Young Syefura Othman memaklumkan DAP negeri menyokong usaha bagi menggalakkan penggunaan tulisan Jawi di Pahang tetapi jangan sampai membebankan rakyat khususnya golongan peniaga kecil.

Persoalannya, adakah menyertakan tulisan Jawi di papan tanda adalah suatu yang membebankan?

Saya berpandangan, usaha kerajaan negeri Pahang itu tidak memberikan sebarang tekanan pun kepada rakyat pelbagai kaum di negeri ini.

Penggunaan tulisan Jawi, termasuklah pelaksanaan mandatori dalam papan tanda tidak menyekat kebebasan mana-mana kaum atau agama.

Adakah ADUN Tras, ADUN Ketari dan DAP Pahang titah menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang bertitah supaya kerajaan negeri Pahang mewajibkan penggunaan tulisan Jawi di papan tanda premis perniagaan di negeri ini?

Kepada seluruh rakyat di negeri ini, rujuklah kepada pihak yang mempunyai kepakaran untuk mendapatkan nasihat berhubung tulisan Jawi.

Janganlah dipengaruhi oleh orang berkepentingan politik, ini akan memburukkan keadaan, malah boleh menjejaskan perpaduan rakyat bukan sahaja di Pahang malah seluruh negara.

Tulisan Jawi bukan isu agama, tetapi isu ini berkaitan dengan bahasa kebangsaan. Kita pula tidak pernah mempertikaikan tulisan Cina kerana Itu sebahagian dari budaya kaum Cina, sebagai contoh.

Tidak perlulah kaum lain menganggap bahawa tulisan Jawi sebagai proses Islamisasi seperti mana yang didakwa oleh sebahagian pihak.

Hentilah mempolitikkan tulisan Jawi.

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker