Ringgit kekal dalam penurunan pada pagi ini

KUALA LUMPUR: Ringgit terus berada pada aliran penurunan berbanding dolar AS dalam sesi awal hari ini berikutan sentimen menghindari risiko.

Pada 9.20 pagi, mata wang tempatan merosot kepada 4.4475/4500 berbanding dolar AS daripada 4.4460/4500 pada Selasa.

Ketua Ekonomi dan Kewangan Sosial Bank Muamalat Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata Indeks Harga Pengguna Amerika Syarikat (AS) akan dipantau dengan teliti berikutan pelabur mencari petunjuk kenaikan kadar faedah AS akan dihentikan seketika.

“Data perdagangan China, yang mendedahkan eksport sederhana kepada 8.5 peratus tahun ke tahun pada April daripada 14.8 peratus pada Mac, menunjukkan pertumbuhan global akan terus goyah.



“Pada masa yang sama, para pegawai Rizab Persekutuan AS yang memilih kepada kadar faedah tinggi selain siling hutang yang meningkat di Capitol Hill menunjukkan pasaran akan kekal terkawal dalam tempoh terdekat,” katanya.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama.

Walaupun rendah berbanding pound kepada 5.6181/6212 daripada 5.6126/6177 pada Selasa, mata wang tempatan meningkat berbanding euro kepada 4.8798/8825 daripada 4.8835/8879 semalam dan naik berbanding yen Jepun kepada 3.2910/2931 daripada 3.2963/2995 sebelum ini.

Bagaimanapun, mata wang tempatan diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Ia merosot kepada 3.3528/3549 berbanding dolar Singapura daripada 3.3522/3557 pada Selasa dan berkurangan berbanding rupiah Indonesia kepada 301.7/301.9 daripada 301.6/301.9 semalam.

Mata wang tempatan turut susut berbanding baht Thailand kepada 13.2193/2322 daripada 13.1835/2016 dan berkurangan berbanding peso Filipina kepada 7.98/7.99 daripada 7.97/7.98 sebelum ini.

Bernama

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker