Sistem bersepadu jejak jenayah wang orang politik

Kuala Lumpur: Kerajaan sedang membangunkan satu sistem bersepadu yang boleh menjejak dan mengesan mana-mana individu, termasuk orang politik yang terbabit dalam jenayah kewangan seperti penggubahan wang haram.

Sistem itu apabila siap nanti diyakini dapat membantu pihak berkuasa membanteras atau mengurangkan kegiatan ekonomi gelap atau ekonomi bayangan yang semakin kompleks dalam sistem kewangan negara.

Dibangunkan secara bersama oleh pelbagai kementerian dan agensi kerajaan, sistem itu akan dikelolakan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional (NFCC).

Menurut sumber, data daripada pelbagai kementerian dan agensi itu akan disepadukan untuk membantu pihak berkuasa merisik, mengesan, menjejaki aliran wang termasuk ke luar negara, syarikat mahupun pengaruh seseorang individu dalam syarikat tertentu.

Antara kementerian dan agensi terbabit adalah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Kementerian Kewangan serta Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menerusi agensi di bawahnya, iaitu Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

Turut serta agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) seperti Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), selain Bank Negara Malaysia (BNM).

Difahamkan, projek itu dibangunkan syarikat tempatan dengan diterajui tiga pakar daripada Cybersecurity Malaysia (CSM) dan NFCC.

Menurut sumber yang dekat dengan pembangunan sistem itu, projek berkenaan bermula ketika pentadbiran Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri ketujuh pada 2018.

“Ia adalah sistem penjejakan wang di bawah inisiatif NFCC dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Setakat ini, kemajuannya sudah mencapai kira-kira 40 peratus. Apabila sistem itu siap kelak, ia boleh digunakan untuk menjejaki aliran wang, kegiatan penggubahan wang haram, termasuk yang ada kaitan dengan orang politik, mana-mana syarikat atau pengurusan kanan mereka.

“Cuma masuk nama syarikat atau orang tertentu, sistem berkenaan boleh menjejak aktiviti membabitkan urusan kewangan dan hubung kait syarikat dengan pihak terbabit,” katanya kepada BH.

Beliau berkata, harapan kerajaan sistem ini dapat digunakan untuk mengelak satu lagi episod seperti skandal 1MDB.

Sumber itu berkata, kebimbangan pihaknya sekarang adalah kemungkinan wujud ‘ancaman’ atau ‘gangguan’ orang politik untuk menggagalkan projek itu.

“Kita harapkan tiada kacau ganggu daripada orang politik terhadap projek ini. Itu sahaja kerisauan kami,” katanya.

Sistem dalaman

Sementara itu, Ketua Pengarah NFCC, Datuk Seri Mustafar Ali yang dihubungi BH mengesahkan pembangunan sistem bersepadu itu sebagai sistem dalaman untuk kegunaan pusat berkenaan.

Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut.

NFCC ditubuhkan untuk membanteras ancaman jenayah kewangan yang boleh menyebabkan negara kehilangan berbilion ringgit akibat kegiatan rasuah, penggubahan wang haram serta pelarian cukai pendapatan, pengelakan cukai dan duti kastam.

Pada 2019, bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mendedahkan saiz ekonomi gelap di Malaysia sekitar 21 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara atau kira-kira RM300 bilion.

Pada 21 Februari lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan berdasarkan laporan Integriti Kewangan Global (GFI) dan Pandora Papers, nilai yang dibawa keluar dari Malaysia mencecah bertrilion-trilion dolar Amerika Syarikat (AS).

Menurut kajian dijalankan GFI yang berpangkalan di Washington, Malaysia menduduki tangga ketiga dalam aliran keluar wang haram pada 2015.

GFI membuat kesimpulan berkenaan berdasarkan data daripada Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker