Mustahil 2 tong gas 28kg diangkat seorang

PUTRAJAYA: Pihak pendakwaan menegaskan kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah pada 2017 mustahil hanya berpunca daripada seorang remaja.

Seorang remaja lelaki dibebaskan atas tuduhan membunuh 23 penghuni pusat tahfiz itu, manakala seorang lagi dipenjara selama tempoh mengikut perkenan Yang di-Pertuan Agong kerana pertuduhan sama.

Ketika kejadian, kedua-kedua tertuduh yang berusia 16 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati kerana pesalah di bawah umur 18 tahun.

Timbalan Pendakwa Raya, How May Ling, berkata dua tong gas masing-masing seberat 14 kilogram (kg) diangkat oleh dua remaja dari tingkat bawah ke tingkat dua asrama pusat tahfiz itu.

Katanya, satu tong gas diletakkan secara menegak dan satu lagi melintang sebelum petrol disimbah serta pemetik api dinyalakan di depan pintu.

“Satu tong gas baru guna dan satu lagi tak buka lagi, kedua-duanya berat. Bukti kita bukan hanya dua tong gas ini tetapi ada garis masa kejadian melalui rakaman kamera litar tertutup (CCTV).

“Selepas simbah petrol, (dua remaja itu) turun tangga sebelum kembali ke motosikal sebelah bangunan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) berdekatan pusat tahfiz dan di situ CCTV merakamnya.

“Semua ini dalam 18 minit dan mustahil (angkat tong gas) oleh seorang, perkara itu dibuat oleh dua orang,” katanya ketika berhujah berhubung rayuan terhadap pembebasan lelaki terbabit di Mahkamah Rayuan, hari ini.

Prosiding itu dijalankan di hadapan panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Abu Bakar Jais, yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun.

Pada 9 Mac lalu, panel terbabit mendengar hujahan daripada pihak pembelaan dan pendakwaan berhubung rayuan seorang lagi lelaki kerana sabitan penjara berkenaan.

Pihak pendakwaan memanggil seramai 71 saksi, manakala enam saksi pembelaan dipanggil untuk memberi keterangan sepanjang perbicaraan yang bermula pada 30 Mei 2018.

Dalam kejadian menyayat hati pada 14 September 2017, seramai 21 pelajar dan dua guru pusat tahfiz terkorban selepas terperangkap di tingkat tiga asrama pusat tahfiz yang terbakar.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua mereka didakwa membunuh dan menyebabkan kematian 23 penghuni pusat tahfiz di Jalan Keramat Hujung, Kampung Datuk Keramat, Wangsa Maju, di sini di antara jam 4.15 pagi dan 6.45 pagi, pada 14 September 2017.

Pendakwaan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan (KK) dibaca bersama Seksyen 34 KK yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Bagaimanapun, Seksyen 97(1) Akta Kanak-kanak 2001 memperuntukkan pesalah di bawah umur 18 tahun tidak boleh dikenakan hukuman mati dan boleh diganti dengan hukuman penjara selama diperkenankan Yang di-Pertuan Agong mengikut Seksyen 97(2) akta sama.

Sementara itu, peguam bela lelaki yang dibebaskan itu, Haijan Omar, berkata hujahan mengenai tong gas diangkat dua individu tiada merit kerana tiada pengecaman positif.

“Kedua, kalau lihat kepada dapatan di akhir kes pendakwaan untuk membuktikan kes prima facie selain pengecaman positif, Mahkamah Tinggi mengguna pakai keterangan lain iaitu tiadanya perbualan dalam kes ini.

“Tiada keterangan menunjukkan bahawa responden (anak guam) terbabit dalam perbualan. Tiada yang kata responden mengambil bahagian sama ada bercakap atau membalas, tiada yang kata responden membeli petrol,” katanya.

Abu Bakar kemudian menetapkan 14 Julai ini untuk keputusan terhadap rayuan pendakwaan dan pembelaan terhadap hukuman serta pembebasan lelaki terbabit.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker