Pencuri beg di masjid ditahan lagi lepas samun warga emas

KOTA BHARU: Polis menahan seorang lelaki disyaki terbabit dalam kes kecurian beg seorang jemaah lelaki di Masjid Muhammadi, di sini pada 26 April lalu.

Ketua Polis Kota Bharu, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud, berkata suspek berusia 39 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 petang kelmarin, selepas terbabit dengan kes samun.

“Kira-kira 11.40 pagi semalam (kelmarin), suspek dipercayai menyamun seorang pesara kakitangan awam (Jabatan Kastam Diraja Malaysia) yang sedang memancing di saliran Sungai Budor.

“Suspek melarikan barangan milik mangsa dan melarikan diri bersama Proton Saga mangsa.

“Kira-kira jam 3 petang, sepasukan polis menangkap suspek yang bersembunyi di kawasan semak di Jalan Kampung Sungai Keladi, jaraknya lebih kurang 1km dari tempat kejadian. Kereta dan barangan milik mangsa turut dijumpai bersama suspek,” katanya dalam kenyataan semalam.

Rosdi berkata, hasil saringan air kencing mendapati penganggur itu positif methamphetamine.

“Siasatan turut mendapati suspek dikehendaki kerana terlibat mencuri beg seorang jemaah lelaki di Masjid Muhammadi,” katanya.

Beliau juga berkata, suspek direman tujuh hari sehingga Selasa ini (16 Mei) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 392 dan Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

BERNAMA

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker