Perkhidmatan enam stesen LRT dibuka semula esok

Kuala Lumpur: Perkhidmatan operasi tren di enam stesen Transit Aliran Ringan (LRT) membabitkan Stesen Bandaraya, Sultan Ismail, PWTC, Titiwangsa, Sentul dan Sentul Timur akan dibuka semula kepada pengguna bermula 6 pagi esok.

Rapid Rail Sdn Bhd dalam satu kenyataan berkata, stesen terbabit dibuka semula selepas fasa pertama kerja pembaikan sementara struktur jejambat dan landasan yang rosak berhampiran stesen LRT Bandaraya selesai dijalankan.

Katanya, tren yang perlu menjalani proses penyelenggaraan dibawa ke depoh LRT di Ampang dan tren gantian akan digunakan bagi tujuan perkhidmatan operasi ini.

“Serentak dengan pembukaan stesen terbabit, perkhidmatan bas LRT 11, 13 dan 14 akan ditamatkan.

“Malah, kerja pembaikan menyeluruh (fasa kedua) struktur landasan dijangka akan siap sepenuhnya pertengahan Oktober ini dan seterusnya operasi perkhidmatan LRT Laluan Ampang-Sri Petaling akan kembali beroperasi secara normal. Jangkaan ini bergantung kepada penilaian dan kelulusan daripada pihak berkuasa terbabit,” katanya, hari ini.

Menurut kenyataan itu, Rapid Rail juga akan mengaktifkan semula perkhidmatan bas perantara percuma (Bas LRT 10) yang akan menghubungkan Stesen LRT Masjid Jamek dan Stesen LRT Bandaraya akibat daripada gangguan perkhidmatan di antara kedua-dua stesen berkenaan bagi melancarkan perjalanan penumpang.

“Perkhidmatan bas perantara ini akan beroperasi menggunakan 10 bas dengan kekerapan setiap 10 minit.

“Penumpang juga ada pilihan untuk menggunakan laluan rel alternatif iaitu penumpang yang ingin menuju ke Hang Tuah, boleh menaiki Laluan Monorel melalui Stesen Titiwangsa manakala penumpang ke Chan Sow Lin, boleh menaiki Laluan MRT Putrajaya melalui Stesen Titiwangsa,” katanya.

Katanya, penumpang juga digalakkan menggunakan aplikasi PULSE untuk merancang perjalanan dan mengikuti laman media sosial Rapid KL untuk mendapatkan info terkini.

“Anggota operasi rel dan Polis Bantuan Prasarana akan ditempatkan di stesen terbabit bagi membantu dan mengawal pergerakan penumpang,” katanya.

Pada 2 April lalu, operasi perkhidmatan LRT di enam stesen terbabit dihentikan kerana tren yang beroperasi tidak dapat lagi memenuhi kriteria pengoperasian dan terpaksa dikeluarkan daripada perkhidmatan atas faktor keselamatan.

Ia susulan kejadian kerosakan struktur dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya yang menyebabkan tren tidak dapat kembali ke depoh LRT di Ampang untuk menjalani kerja penyelenggaraan sejak 27 Januari lalu.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker