`Bukan simulator, budak belajar menerusi YouTube, tengok bapa’- OC Langkawi

LANGKAWI: Kertas siasatan kes kanak-kanak berusia enam tahun memandu kereta Toyota Vios milik keluarga sehingga terbabit dalam kemalangan di sini, pada Selasa lalu, kini hampir siap.

Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata setakat ini pihaknya sudah selesai merakam keterangan kedua ibu bapa kanak-kanak terbabit selain lima individu lain bagi membantu siasatan

Katanya, lima individu berkenaan merangkumi tiga saksi di tempat kejadian selain masing-masing seorang datuk kepada dua kanak-kanak dan anggota polis yang tiba di tempat kejadian.



“Kertas siasatan hampir siap dan ia akan dirujuk kepada Pengarah Pendakwaan Negeri di Alor Setar, sebaik polis menerima laporan perubatan daripada Hospital Sultanah Maliha,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Rabu lalu, media melaporkan seorang budak lelaki berusia enam tahun mengejutkan orang ramai apabila melanggar sebatang tiang lampu yang dipandunya sendiri pada jam 11.15 malam.

Ketika kejadian dia ditemani adiknya berusia tiga tahun dan sedang dalam perjalanan sejauh 2.5 kilometer dari kediamannya ke sebuah kedai untuk membeli mainan sebelum terbabas.

Dalam kejadian di Jalan Bukit Tangga, Simpang Kenyum, berhampiran Kampung Titi Chanwang itu, budak lelaki berkenaan disahkan cedera di dagu.



Shariman berkata, kanak-kanak berusia enam dan tiga tahun itu juga akan dirujuk ke Pusat Temuduga Kanak-Kanak (CIC) di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah bagi mendapatkan keterangan menyeluruh.

Mengulas video tular di media sosial memapar dan mendakwa kononnya kanak-kanak terbabit berlatih memandu menggunakan simulator di rumah, beliau berkata, perkara itu tidak benar.

“Siasatan pihak polis mendapati tidak ada simulator pemanduan di rumah kanak-kanak terbabit dan individu dalam video itu juga bukan kanak-kanak yang memandu kereta Toyota Vios sehingga menyebabkan kemalangan.

“Sebaliknya menerusi siasatan, kanak-kanak itu mendakwa tahu cara memandu kereta menerusi ilmu yang diperolehi di YouTube dan mengamati cara pemanduan bapanya,” katanya.



BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button