Remaja didakwa rogol gadis bawah umur, simpan video lucah

Melaka: Remaja lelaki mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan merogol gadis bawah umur dan satu kesalahan memiliki video lucah antara September 2022 hingga awal bulan ini.

Tertuduh, Muhammad Isa Muhaimin Muhammad Fauzi, 18, membuat pengakuan itu pada prosiding berasingan di Mahkamah Sesyen 3 dan Mahkamah Majistret 2 Ayer Keroh, hari ini.

Pada prosiding pertama di hadapan Hakim Darmafikri Abu Adam, tertuduh didakwa atas tiga pertuduhan merogol remaja perempuan berusia 15 tahun pada tarikh dan masa berasingan antara September 2022 hingga awal bulan ini.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah beralamat di Taman Limbongan Permai yang menjadi kesalahan mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan.



Sabit kesalahan boleh dikenakan penjara sehingga 20 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari mencadangkan jaminan RM20,000 bagi semua pertuduhan dan syarat tambahan tertuduh tidak mengganggu mangsa serta perlu melapor diri sebulan sekali di balai polis berhampiran.

Tertuduh yang diwakili peguam Goh Chin Han merayu jaminan rendah dengan alasan dia tiada kerja tetap dan baru tamat persekolahan manakala bapanya yang juga penanggung tunggal keluarga hanya pemandu lori dengan pendapatan RM2,200 sebulan.

Selepas menimbangkan hujah kedua-dua pihak mahkamah membenarkan tertuduh dilepaskan dengan jaminan RM12,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan seperti dipohon pihak pendakwaan.



Dalam prosiding berasingan di hadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman tertuduh turut tidak mengaku bersalah memiliki telefon bimbit yang mengandungi video lucah dan menjadi kesalahan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan.

Kesalahan itu dilakukan di Pejabat D11 Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka pada 10 malam 5 Mei lalu.

Sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Timbalan Pendakwa Raya, J Banusha mencadangkan jaminan RM8,000 namun Goh merayu jaminan rendah dengan alasan sama.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM2,000 dengan seorang penjamin.

Tarikh 19 Jun depan ditetapkan untuk sebutan semula kes dan serahan dokumen.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker