Barcelona rangkul gelaran La Liga kali ke-27

CORNELLA DE LLOBREGAT, Sepanyol: Barcelona memenangi gelaran La Liga buat pertama kali sejak tahun 2019 selepas menewaskan Espanyol 4-2, merampas kembali kejuaraan daripada Real Madrid.

Gergasi Catalan itu merangkul kejuaraan liga ke-27 di laman lawan mereka, dengan keadaan menjadi kecoh apabila penyokong tuan rumah menceroboh ke dalam padang ketika pemain-pemain Barca meraikan kemenangan.

Robert Lewandowski meledak dua kali untuk Barcelona, dengan Alejandro dan Jules Kounde turut menemui sasaran, manakala Javi Puado dan Joselu menjaringkan gol lewat permainan tuan rumah.

Barcelona mengharungi tempoh sukar di dalam dan di luar padang sejak beberapa tahun kebelakangan dan kemenangan ini menjadi titik tolak kepada kebangkitan mereka, dengan pengendali, Xavi Hernandez memenangi trofi major pertamanya sejak mengambil alih pasukan pada November 2021.

Rombakan pasukan dilakukan presiden kelab, Joan Laporta dikritik hebat pada musim panas lalu ketika Barcelona berdepan krisis kewangan.

Tersingkir daripada Liga Juara-Juara Eropah memberi tamparan hebat buat Barca, tetapi mereka memenangi Piala Super Sepanyol pada Januari, sebelum mengesahkan kejuaraan La Liga ketika musim berbaki empat perlawanan.

“Ia saat yang sangat beremosi, saat yang amat sukar untuk tidak diraikan selepas kerja keras selama berbulan-bulan.

“Kami tidak meraikannya kerana ia adalah stadium Espanyol,” kata Xavi sambil menegaskan kejayaan itu adalah bukti kelab berada di landasan tepat.

AFP

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker