Mohon bantu, adik Athif juga perlukan RM9 juta

Kuantan: Selepas kejayaan rakyat Malaysia mengumpul dana RM9 juta untuk membantu adik Naail yang menghidap penyakit jarang jumpa, Spinal Muscular Atrhopy (SMA) Type 1, kini giliran adik Athif pula mengharapkan ‘keajaiban’ sama.

Dana terbabit adalah bagi membeli ubat Genetik Zolgensma yang berharga AS$2.1 juta (RM9.42 juta) yang mampu menyembuhkan penyakit terbabit.

Muhammad Athif Fahri Mohd Farhan berusia setahun tiga bulan tidak mempunyai banyak masa berikutan suntikan ubat terbabit perlu diambilnya sebelum usianya mencapai dua tahun.

Anak bongsu daripada tiga beradik itu dilahirkan pada 3 Mac 2022, dengan berat 3.33 kilogram serta ukur lilit kepala 33 sentimeter.

Bapa Athif, Mohd Farhan Mohd Sait, 33, berkata, sejurus dilahirkan, doktor mengesan sesuatu tidak kena dengan anaknya dan mengambil sampel darah untuk dibuat ujian, sebelum disahkan menghidap penyakit terbabit sebulan kemudian.

“Pihak perubatan memaklumkan anak kami tidak mempunyai harapan untuk hidup dan dijangka hanya dapat bertahan sehingga enam bulan, malah usaha mendapat rawatan untuk anaknya di Hospital Kuala Lumpur (HKL) juga gagal apabila pihak hospital memaklumkan mereka tidak boleh berbuat apa-apa.

“Selepas membuat pencarian di Internet, baru saya dapat tahu rawatan tersebut hanya boleh dibuat di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), namun kos rawatannya terlalu mahal,” katanya.

Katanya, kini Athif bergantung pada ubat yang perlu diambil setiap hari dengan kos ubat mencecah RM40,000 sebulan, namun mereka bernasib baik apabila banyak pihak memberi sumbangan untuk mendapatkan ubat berkenaan sehingga kini memasuki botol ketujuh.

“Dengan mengambil suntikan bernilai RM9 juta itu, Athif berpeluang untuk sembuh sepenuhnya tanpa perlu bergantung pada ubat lagi,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Permatang Badak, di sini.

Mohd Farhan berkata, dia sangat bersyukur dan berterima kasih dengan keprihatinan rakyat Malaysia yang terus menyumbang melalui Yayasan Misi Rakyat (Misi Rakyat).

Setakat berita ini ditulis, kira-kira RM1.7 juta sudah berjaya dikumpul oleh Misi Rakyat iaitu 19 peratus daripada sasaran kutipan RM9 juta untuk adik Athif.

Terdahulu, Athif menerima kunjungan Pengasas Yayasan Misi Rakyat, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi di kediamannya semalam.

Ahmad Faiz berkata, pihaknya menjangkakan RM9 juta dapat terkumpul dengan segera sekiranya rakyat Malaysia bersatu membantu adik Athif seperti yang dilakukan terhadap adik Naail yang berjaya mengumpul dana kurang sebulan.

“Jika sebelum ini, apabila ada seruan, rakyat marhaen yang mula-mula bertindak, mereka yang dalam akaun bank hanya ada RM10, RM5 dia bagi.. terlalu ramai yang menyumbang RM1.

“Untuk adik Athif, saya berharap dapat melibatkan semua orang tidak kira sama ada jutawan, artis atau pempengaruh, supaya semua dapat bersama-sama,” katanya.

METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker