Ruhainies belum nak kahwin

Kuala Lumpur: Pelakon Ruhainies, 31, tidak terfikir serta bersedia untuk berkahwin kerana berasa bimbang dengan kemelut rumah tangga yang berlaku pada segelintir pasangan selebriti ketika ini.

Ruhainies atau nama sebenarnya, Nur Ruhainies Farehah Zainul Ilyas berkata, dia mahu memberi fokus pada karier, ibu bapa dan keluarganya dulu sebelum mengambil keputusan berumah tangga.

“Saya jadi risau dan takut untuk diri sendiri dalam menjalin perhubungan. Apa yang pasti, buat masa sekarang saya belum terfikir dan bersedia lagi nak berkahwin. Bagi saya, bila sampai jodoh takkan ke mana.

“Buat masa ini, jadual kerja saya pun padat. Alhamdulillah, rezeki tak putus dalam lakonan dan sebagai duta produk. Jadi, rasanya wajar untuk saya utamakan karier dahulu sebelum berkahwin,” katanya kepada Harian Metro.



Baru lapan tahun aktif berlakon, Ruhainies yang sebelum ini bersikap terbuka berkongsi kisah cinta dan peribadinya, membuat keputusan tidak mahu berkongsi lagi sehingga jodohnya betul-betul sampai.

“Ya, betul sekarang saya dah tak nak lagi ‘share’ (kongsi) tentang hal peribadi dan hubungan cinta sehingga sampai masanya. Kalau dah ada jodoh dan ingin berkahwin nanti, barulah saya kongsi.

“Sebabnya, bila kita dah mula berkongsi cerita berkaitan peribadi seperti kekasih, orang akan mula ternanti-nanti cerita seterusnya. Benda itu penatlah, bila asyik ditanya tentang perkahwinan dan karier pula seakan tenggelam,” katanya.

Ruhainies yang pernah melonjak dengan drama Menantu Ting Tong dan Maaf Tak Indah berkata, dia akan berkongsi perancangan perkahwinan apabila sudah bersedia mahu melangkah ke fasa perkahwinan dan bergelar isteri orang.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker