Sepak takraw mangsa ‘taktik kotor’ tuan rumah

Phnom Penh: Skuad sepak takraw negara boleh dikatakan menjadi mangsa kepada ‘taktik kotor’ tuan rumah apabila dikerah untuk mengharungi empat perlawanan dalam tempoh sehari membabitkan acara regu dan regu dua sepasukan (doubles) yang akan bermula esok.

Walaupun, pihak penganjur memberikan alasan bahawa tindakan terbabit adalah bagi memastikan semua acara sukan dapat dihabiskan sebelum majlis penutupan pada Rabu ini namun mereka seharusnya tidak menjadikan acara itu sebagai ‘korban’ hingga boleh menjejaskan perancangan pasukan yang bertanding.

Hal ini kerana, acara regu dobules menjadi taruhan terbaik kem Malaysia untuk meraih pingat emas namun dipaksa beraksi sebanyak empat perlawanan dalam tempoh sehari menentang Kemboja, Myanmar, Singapura serta peringkat separuh akhir.



Situasi sama turut diharungi skuad regu yang dalam misi mengulangi aksi sama mengejutkan juara dunia, Thailand apabila dipaksa beraksi sebanyak empat perlawanan esok.

Ketua jurulatih kebangsaan Ahmad Jais Baharun berkata, walaupun dua acara itu menjadi ‘mangsa’ pihak penganjur namun barisan pemain perlu lebih fokus dan mengekalkan momentum dalam usaha menggenggam emas untuk negara.

“Kalau hendak diikutkan, ini kali pertama jadual sebegini diaturkan. Kita hendak cakap lebih pun, negara lain turut berdepan dengan situasi yang sama, jadi mahu atau tidak kita terpaksa harungi juga.

“Memang bila diaturkan untuk beraksi empat perlawanan sehari, ia akan menjejaskan fizikal pemain, jadi sebab itu saya sudah mengarahkan para pemain untuk terus berehat selepas tamat perlawanan supaya dapat bersiap untuk perlawanan yang seterusnya.



“Mujur kita diberikan bilik rehat, dan pada masa sama mempersiapkan tukang urut dan doktor untuk membantu atlet kita bersiap dari sudut fizikal,” jelas Jais.

Terdahulu, skuad regu berpasukan lelaki negara menyumbang pingat perak, sementara skuad wanita pula meraih pingat gangsa.

METRO



Related Articles

Leave a Reply

Back to top button