S Sabapathy meninggal dunia

Kuala Lumpur: Arena olahraga negara kehilangan sebutir permata apabila bekas pelari 4×400 meter (m) Olimpik negara, S Sabapathy meninggal dunia pada usia 75 tahun.

Berita pemergian bekas pelari itu dimaklumkan sendiri oleh anaknya P Mahaletchumy ketika dihubungi Arena Metro sambil memberitahu bapanya menghembuskan nafas yang terakhir pada jam 4.45 pagi tadi akibat masalah jangkitan kuman di paru-paru.

“Ayah sebelum ini memang ada sakit buah pinggang tahap 4, cuma baru-baru ini dia menghidap jangkitan kuman di paru-paru dan masalah degupan jantung.



“Namun semalam kesihatannya semakin merosot, tak boleh cakap dan kurang makan dalam dua tiga hari ini.

“Waktu dia meninggal itu kira-kira jam 4.45 pagi, kami bertiga saya, mak dan adik ada disebelah dia sebab sebelum ini kami bertukar-tukar jaga dia 24 jam,” katanya.

Sebelum ini Harian Metro melaporkan Sabapathy yang berjaya melayakkan diri ke Olimpik Munich 1972 secara merit dalam acara 4×400 meter (m) hingga diangkat sebaris dengan legenda olahraga negara, Tan Sri Dr M Jegathesan, terlantar di rumahnya kerana menghidap pelbagai penyakit seperti masalah buah pinggang dan dementia.



Untuk rekod, sepanjang pembabitan Sabapathy mewakili negara menyaksikan beliau berjaya memperoleh emas pada acara 4x100m di Sukan Sea di Singapura pada 1973 selain pencapaian tertinggi adalah beraksi dalam kategori 4x400m di Olimpik Munich 1972.

Selain itu, mendiang juga adalah antara individu yang bertanggungjawab melatih bekas pelari pecut negara, Watson Nyambek bagi melayakkan diri ke Olimpik Sydney 2000.

“Salam takziah kepada keluarga mendiang. Jasa Dan pengorbanan beliau terhadap sukan olahraga amat tinggi sekali.

“Saya pernah berlatih bersama beliau dalam usaha ke sukan olimpik 2000 Bersama Datuk Mumtaz jaafar. R.I.P coach Sabapathy,” kata Watson.



METRO

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button