Ketua Hakim Mahkamah Agung Ukraine ditahan disyaki menerima rasuah AS$3 juta

NEW YORK: Pihak berkuasa antirasuah Ukraine, semalam, memberitahu pihaknya sedang menyiasat kegiatan rasuah berskala besar dalam sistem Mahkamah Agung negara itu dan berkongsi gambar timbunan dolar disusun rapi di atas sofa.

Biro Pencegahan Rasuah Kebangsaan Ukraine (NABU) bagaimanapun, tidak menamakan individu yang dituduh rasuah, namun, dua organisasi media tempatan melaporkan Ketua Hakim Mahkamah Agung, Vsevolod Kniaziev ditahan kerana disyaki menerima rasuah AS$3 juta (RM13.48 juta).

Pihak berkuasa antirasuah negara itu memuat naik gambar itu di laman Facebooknya, yang memaklumkan penemuan itu hasil susulan siasatan NABU dan pejabat Pendakwa Raya Khas Pencegahan Rasuah (SAP).

“NABU dan SAP mendedahkan aktiviti rasuah berskala besar di Mahkamah Agung, iaitu satu skim untuk kepemimpinan dan hakim Mahkamah Agung menerima rasuah,” kata biro itu dalam hantarannya.

“Tindakan penyiasatan sedang dijalankan.”

Brussels menjadikan usaha memerangi rasuah sebagai prasyarat untuk Kyiv menyertai 27 anggota Kesatuan Eropah (EU).

Walaupun terdapat kemajuan dalam beberapa tahun kebelakangan ini, Ukraine menduduki tempat ke-116 daripada 180 negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) Transparency International (TI).

Laman web berita tempatan, Dzerkalo Tyzhnia, dan saluran dalam talian Ukrayinska Pravda, yang memetik sumber memberitahu Kniaziev ditahan namun tidak memberikan butiran lanjut.

Dzerkalo Tyzhnia yang memetik sumbernya berkata wang itu adalah daripada penyokong jutawan Ukraine, Kostyantyn Zhevago, yang ditangkap di Perancis pada Disember lalu atas permintaan Kyiv berhubung dakwaan penyelewengan.

Ahli perniagaan itu memberitahu mahkamah dia tidak melakukan kesalahan dan tidak sepatutnya diekstradisi.

Wang itu diterima daripada penyokong terhadap keputusan mahkamah pada April lalu yang memihak kepada pengeluar pelet Ferrexpo Plc.

Katanya, seramai 18 lagi hakim Mahkamah Agung yang mendengar kes Ferrexpo kini sedang disiasat.

Kes itu menangani pembelian semula kira-kira 40.2 peratus saham dalam anak syarikat Ukraine, Ferrexpo Poltava Mining, yang dijual kepada Zhevago dan pihak lain.

REUTERS

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button

Adblock Detected

Please consider supporting us by disabling your ad blocker