Bekas pengurus MBSB bebas tuduhan pecah amanah RM220,000

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen hari ini, melepas dan membebaskan bekas Pengurus Malaysia Building Society Berhad (MBSB), Muhamad Shahrul Md Sabri, atas tiga pertuduhan jenayah komputer dan pecah amanah membabitkan kerugian RM220,000.

Datuk M MEdwin Paramjothy, membuat keputusan itu selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes melampaui keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

“Tertuduh dengan ini dilepas dan dibebaskan daripada semua pertuduhan,” katanya.



Mengikut pertuduhan pertama, Muhamad Shahrul, 41, didakwa melakukan capaian tanpa kuasa dengan mengeluarkan wang RM220,000 kepunyaan MBSB dengan menggunakan kata nama dan kata laluan milik orang lain menyebabkan kerugian kepada MBSB.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 4(1) Akta Jenayah Komputer 1997 yang membawa hukuman denda maksimum RM150,000 atau penjara hingga 10 tahun atau kedua-duanya.

Muhamad Shahrul juga didakwa membuat capaian kepada kandungan sistem MBSB Integrated Core Banking (MICOB) dan menyebabkan pengubahsuaian tanpa kuasa terhadap data membabitkan wang sama.

Kesalahan itu mengikut Seksyen 5(1) akta sama yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM100,000 atau penjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya.



Kedua-dua kesalahan itu dilakukan di MBSB di Presint 15, Putrajaya, pada jam 8 pagi, 11 September 2017 dan jam 7 malam pada 12 September tahun sama.

Selain itu, tertuduh sebagai Ketua Bahagian Jualan dan Perkhidmatan MBSB Cawangan Putrajaya yang diamanahkan dengan penguasaan harta syarikat iaitu wang RM220,000 melakukan pecah amanah jenayah wang antara 10 Ogos hingga 12 September 2017.

Kesalahan mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 14 tahun dengan sebat dan denda jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Ilya Ellyna Nor Azmal, manakala tertuduh diwakili peguam, Ariff Azami Hussein dan Nur’ain Shahiera Khalid.



Seramai 11 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh dipanggil memberi keterangan sejak kes mula dibicarakan pada 2019.

BHOnline

Related Articles

Leave a Reply

Back to top button